Ceria penghuni tirai besi

Iklan
Banduan OBB memeluk ahli keluarga yang setia menunggu hari pembebasan mereka.

MARANG - Seramai 163 banduan yang menjalani hukuman penjara kurang tiga tahun di Penjara Marang berpeluang menyambut lebaran bersama keluarga apabila dibebaskan ketika Program Pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) Sempena Aidilfitri 2024 Ihsan Madani.

Pengarah Penjara Terengganu, Penolong Kanan Komisioner Hamid Taha berkata, semua banduan berusia lingkungan 23 hingga 55 tahun diberi ruang menyesuaikan diri dengan komuniti sebelum dibebaskan mengikut tempoh sebenar hukuman berakhir.

Iklan
Iklan

"Semua prospek (banduan) menjalani hukuman atas kesalahan kecil seperti mencuri, ugut, memiliki dadah, menceroboh kawasan dan memiliki barangan curi.

"Mereka akan terus dipantau dan perlu melaporkan diri mengikut jadual ditetapkan,” katanya pada Ahad.

Iklan
Seramai 142 prospek PPA Machang dibebaskan secara berlesen pada Ahad.

Hamid berkata, pelepasan itu juga memberi peluang kepada banduan memiliki pekerjaan dengan gaji minimum RM1,500, sekali gus memastikan mereka memiliki masa depan lebih baik.

"Sepanjang tempoh dipantau, mereka akan diberikan ruang memajukan diri di mana kita sediakan peluang pekerjaan dan jika tiada penginapan, kita akan sediakan penginapan melalui majikan.

Iklan

"Kebanyakan mereka diterima masuk untuk bekerja dalam bidang perkilangan, perladangan, penternakan dan produk pembuatan makanan haiwan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamid berkata, semua banduan masih berada dalam penjara akan diberi kebenaran bertemu keluarga bermula 3 Syawal.

"Semoga pertemuan ini dapat meleraikan kerinduan masing-masing dan tanda kesediaan keluarga menerima kepulangan banduan selepas hukuman berakhir,” katanya.

Seorang banduan dikenali sebagai Pok Cek, 26, bersyukur diberi peluang kedua untuk berubah dan pada masa sama dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Seorang banduan melepaskan kerinduan terhadap keluarganya selepas dibebaskan secara berlesen melalui PBLS Ihsan Madani.

"Saya bersyukur walaupun dalam keadaan begini, keluarga masih memberi peluang dan menerima saya.

"Selepas menjalani hukuman, saya insaf dan nekad tidak mahu mengulangi kesalahan ini lagi,” katanya yang menerima hukuman atas kesalahan mencuri.

Seorang lagi banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Zul, 28, berkata program OBB amat dinantikan nya kerana terlalu rindukan keluarga.

"Apabila tiba Aidilfitri, sudah tentu aroma masakan keluarga akan diingati dan dirindui. Saya bersyukur sebab diberikan peluang ini,” katanya yang dihukum atas kesalahan dadah.

Sementara itu di Kelantan, seramai 142 prospek dari Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang dibebaskan secara berlesen menerusi program sama.

Pengarah PPA Machang, Mohd Nasir Yusof berkata, program OBB membuka peluang kepada prospek terpilih kembali merapatkan hubungan dengan keluarga dan masyarakat.

Mohd Nasir beramah mesra bersama prospek ketika Program Pelepasan OBB di PPA Machang.

"Seramai 66 prospek akan bersama majikan manakala selebihnya berada di Rumah Perantaraan (RP).

"Pada masa sama, program ini memberi peluang kepada prospek mencari pekerjaan melalui kemahiran dipelajari sepanjang berada di penjara,” katanya selepas Program Pelepasan OBB di PPA Machang pada Ahad.

Menurut Mohd Nasir, sebanyak 34 syarikat aktif mengambil OBB bekerja dengan menyediakan lebih 390 peluang pekerjaan.

"Sepanjang tahun lalu, PPA Machang mengeluarkan 1,000 prospek untuk menjalani program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) di luar tembok penjara dan ditempatkan di pelbagai sektor pekerjaan antaranya sektor perladangan, getah dan kelapa sawit.

"Melalui pendekatan ini, prospek boleh membuat perancangan masa depan dengan adanya punca pendapatan,” katanya.

Menurut Mohd Nasir, selain OBB, majikan turut mendapat manfaat sekiranya mereka menggaji prospek antaranya pengecualian cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Pada masa sama, majikan turut diberikan insentif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebanyak RM1,500 sebulan,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28