GUA MUSANG - Seorang warga emas maut selepas Perodua Kancil yang dipandunya bertembung dengan kereta jenis Honda City di Kilometer 27 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini pada Ahad.
Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, Honda City terbabit turut berlanggar dengan dua lagi kereta lain jenis Perodua Axia dan Proton Persona.
Ketua Polis Daerah Gua Musang,Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu warga emas dari arah Chiku menghala ke Gua Musang bertembung dengan Honda City.
"Pertembungan itu menyebabkan Honda City dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dua kereta lain.
"Kemalangan itu menyebabkan warga emas berkenaan meninggal dunia di lokasi.
"Mayat warga emas tersebut dikeluarkan dari kereta yang dipandunya itu oleh JBPM (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, dalam kejadian itu dua lagi mangsa turut mengalami kecederaan parah.
Choon Foo memberitahu, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
"Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian tersebut boleh menghubungi talian 09-9121222 atau 013-3010408," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!