Anggota Maritim Malaysia cedera ditembak selamat jalani pembedahan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang ditembak di bahagian mata oleh sekumpulan perompak laut di Kunak, Sabah baru-baru ini berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, anggota tersebut pada mulanya berkemungkinan perlu menjalani pembedahan dan memakai mata palsu.

Iklan
Iklan

Namun begitu kata beliau, mata asal anggota tersebut selamat dan tidak perlu digantikan dengan mata palsu.

"Pihak hospital telah berjaya mengeluarkan peluru daripada kecederaan dialami," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman yang baharu.

Penyerahan tugas itu melibatkan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri kepada Datuk Mohd Nasri Omar yang akan memangku tugas tersebut buat sementara waktu, sebelum lantikan Pengarah akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Razarudin (tengah) menyaksikan serah terima tugas Pengarah JSPT Bukit Aman antara Mohd Azman (kiri) kepada Mohd Nasri di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur pada Isnin. Foto Sinar Harian-Asril Aswandi Shukor

Iklan

Mengulas lanjut kejadian berdarah di Kunak tersebut, Razarudin berkata, pihaknya yakin ia merupakan kes rompakan laut yang dilakukan oleh warga tempatan.

Menurut beliau, kesempatan dan peluang yang ada digunakan oleh kumpulan penjenayah tersebut untuk merompak orang ramai yang pulang beraya dari Kunak ke Semporna menggunakan bot.

Beliau bagaimanapun menafikan kejadian itu dikaitkan dengan kumpulan militan dari negara jiran.

"Ia tiada kaitan dengan kumpulan militan dari negara jiran kerana mereka adalah perompak laut.

"Namun siasatan lanjut masih diteruskan terutama mengenal pasti senjata api digunakan oleh kumpulan penjenayah tersebut," ujarnya.

Tambah beliau, seorang daripada kumpulan penjenayah yang menyerang anggota Maritim Malaysia sudah dikenal pasti.

Bagi memastikan keselamatan di perairan Sabah, beliau berkata, Polis Marin akan terus membuat rondaan bersama Maritim Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!