Dua rakan didenda RM3,500 bantu tawar pinjaman tanpa lesen

Iklan
Tertuduh ketika diiringi anggota polis tiba di Mahkamah Majistret Port Dickson.

PORT DICKSON - Dua lelaki masing-masing didenda sebanyak RM3,500 di Mahkamah Majistret, di sini pada Isnin atas pertuduhan membantu kegiatan pinjaman wang tanpa lesen kepada peminjam di daerah ini, tahun lalu.

Tertuduh V Venod, 25, dan S Pragasan, 28, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Iklan
Iklan

Mahkamah turut menetapkan empat bulan penjara sekiranya kedua-dua tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.

Berdasarkan pendakwaan, Venod telah membantu menjalankan aktiviti pemberi pinjam wang tanpa lesen dengan memiliki tiga kad mesin juruwang automatik (ATM) yang bukan miliknya.

Iklan

Perbuatan itu dilakukan di Taman Muhibbah Sungai Pelek, Sepang, Selangor kira-kira jam 5.30 petang pada 5 Julai 2023.

Pragasan pula dituduh telah membantu menjalankan aktiviti pemberi pinjam wang tanpa lesen dengan memberi RM 6,000 kepada seorang wanita berusia 44 tahun.

Iklan

Perbuatan itu, dilakukannya di sebuah taman perumahan di sini kira-kira jam 8.47 malam pada 28 Jun lalu.

Sehubungan itu, mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 AA(1), Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal, manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, pada 8 April tahun lalu, mangsa telah berjumpa dengan dua lelaki dan bersetuju untuk membuat pinjaman sebanyak RM6,000, namun setelah ditolak deposit, caj dokumen perjanjian dan faedah, mangsa hanya mendapat RM 4,200.

Mangsa sudah membuat pembayaran sehingga berjumlah RM9,900, namun masih diminta untuk membuat pembayaran pinjaman itu lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!