YAYASAN MR D.I.Y sumbang RM2,000 baucar tunai, kotak bantuan ‘Raya Sama-Sama Membantu’ yang dipenuhi dengan hiasan Hari Raya Aidilfitri dan keperluan harian di 14 rumah kebajikan di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaleha Mohd Mydin berkata, menerusi kempen ‘Raya Sama-Sama’, mereka berpeluang membantu golongan kurang bernasib baik meraikan Syawal.
Menurutnya, dengan bantuan daripada sukarelawan MR D.I.Y Cares ia dapat membantu menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu.
Antara rumah kebajikan yang terlibat adalah, Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih Selangor; Rumah Anak-Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Melaka Tengah,Melaka; Pertubuhan Anak Yatim Darul Aminan (PAYDA), Seremban, Negeri Sembilan; Pusat Jagaan Impian Syimah, Johor Bharu dan Pertubuhan Kebajikan Baitul Husna, Kuantan, Pahang.
Selain itu, Pusat Jagaan Sinar Berkat, Ipoh, Perak; Rumah Anak Yatim, Taman Seri Mengkuang, Kubang Semang, Pulau Pinang; Pertubuhan Rumah Anak Yatim Az Zahra, Merbok, Kedah; Pusat Jagaan Hembusan Kasih, Arau, Perlis dan Rumah Anak Yatim Huzai, Kemaman, Terengganu.
"Kami berterima kasih kepada 14 buah rumah kebajikan ini kerana membenarkan kami
membawa kegembiraan perayaan kepada mereka.
"Tahniah kepada semua sukarelawan MR D.I.Y. Cares atas sokongan dan usaha yang tidak berbelah bahagi. Sebagai sebuah pasukan, kita berupaya untuk melakukan perubahan yang sebenar.
"Kami juga menghantar bantuan ke Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan, Pengkalan Chepa, Kelantan; Rumah Anak Yatim dan Asnaf As Sakinah, Papar, Sabah serta Pusat Jagaan Nur Murni, Kuching, Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, menurut Zaleha, mereka turut menghantar bantuan di Rumah Titian Kaseh, Kuala Lumpur bagi membantu dan meraikan anak-anak yatim sempena Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.
Ujarnya, dengan menjemput penyanyi dan pengacara televisyen, Alif Satar bersama Kumpulan Muzik The Locos mampu membawa senyuman kepada mereka.
"Hari Raya Aidilfitri adalah mengenai pengampunan dan mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain. Kami memahami ramai yang tidak berpeluang meraikannya bersama keluarga tersayang.
"Misi kami ialah meraikan semangat kebersamaan, membantu mereka yang memerlukan dan menjemput orang ramai untuk meraikan 'Raya Sama-Sama'.
"Kami bertuah kerana Alif Satar dan The Locos menyertai program ini. Kehadiran mereka sudah tentu menjadikan hari ini lebih diingati oleh anak-anak Rumah Titian Kaseh. Terima kasih Alif dan The Locos,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!