ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, perkenan berangkat menunaikan bayaran zakat fitrah bagi Tahun 2024 di Pejabat Baginda di Wisma Darul Aman, di sini, pada Ahad.
Pembayaran zakat fitrah bagi Tahun 2024 diserahkan baginda kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Datuk Zakaria Othman selaku amil dan turut disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah yang juga Pengerusi LZNK, Datuk Seri Norizan Khazali.
Iklan
Iklan
Dalam majlis sama, Sultan Sallehuddin bertitah kepada semua rakyat negeri Kedah agar segera menunaikan kewajipan zakat fitrah pada tahun ini kepada LZNK.
Rakyat dititahkan agar tidak menangguhkannya sehingga ke akhir waktu bagi mengelakkan daripada terlupa atau terlepas pandang kewajipan ini.
Kadar zakat fitrah pada tahun ini ditetapkan pada 3 kadar pilihan, iaitu RM7.00 untuk beras tempatan dan seumpamanya, RM14.50 untuk beras import dan seumpamanya serta RM22.00 untuk beras Basmathi dan seumpamanya.
Semua umat Islam adalah digalakkan membayar zakat fitrah masing-masing mengikut jenis beras yang dimakan setiap hari.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28