BESUT - Prihatin dengan nasib golongan memerlukan, pasangan suami isteri memutuskan untuk menginfakkan baju raya percuma kepada golongan memerlukan menerusi agihan pakaian di Kota Putera Square, Kampung Raja di sini.
Nurul Husna Radhiah Harun, 36, berkata, setakat ini sebanyak 2,000 pasang pakaian raya pelbagai saiz yang boleh dipakai oleh kanak-kanak, wanita dan lelaki berjaya diagihkan melalui sumbangan dinamakan sebagai 'rak infak'.
Menurutnya, idea untuk menginfakkan sumbangan pakaian itu tercetus apabila dia dan suami, Nik Bariqi Mohd Noor Azahar, 34, melihat ramai individu yang terjejas disebabkan ketidakstabilan ekonomi buat masa ini.
"Bila lihat ramainya yang susah tak mampu beli baju raya, saya mula terfikir untuk membantu mereka mendapatkan persalinan baharu bagi menyambut Aidilfitri ini.
"Biarpun bukan pakaian baharu namun harapan saya agar ia sedikit sebanyak mampu menceriakan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di Kota Putera Square di sini, baru-baru ini.
Nurul Husna Radhiah memberitahu, dia mula mengumpulkan pakaian terpakai untuk diagihkan kepada mereka yang tidak bernasib baik bermula sejak pertengahan Ramadan lalu.
Jelasnya, setiap pakaian diterima akan dipastikan dalam keadaan masih elok sebelum diagihkan kepada penerima bagi membolehkan ia dapat dipakai ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.
"Setakat ini boleh dikatakan baju yang didermakan 98 peratus masih elok malah ada antaranya baru dipakai sekali atau dua kali sahaja oleh pemiliknya," ujarnya.
Nurul Husna Radhiah berkata, usaha memberikan pakaian secara percuma itu bagi mengelak berlakunya pembaziran supaya baju-baju yang tidak dipakai dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan.
"Sejak rak infak ini dilaksanakan, kebanyakan mereka yang datang mengambil pakaian ini adalah golongan yang betul-betul susah.
"Sebenarnya saya terkesan apabila terdengar ada dalam kalangan anak-anak ini meluahkan rasa gembira apabila mendapat baju raya meskipun hanya baju terpakai.
"Selepas mereka dapatkan pakaian yang sesuai, saya nampak jelas terpancar kegembiraan di wajah anak-anak mereka," ujarnya.
Difahamkan, rata-rata mereka yang datang untuk mengambil baju itu dari sekitar daerah Besut termasuk Jabi, Hulu Besut dan Kampung Padang Luas.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!