Kereta terbabas, terbalik selepas 'aksi' pandu melulu, himpit

Iklan
Tangkap layar video memaparkan kejadian melibatkan dua buah kenderaan sebelum salah sebuah darinya hilang kawalan serta terbabas dekat Kilometer 49.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di sini pada Ahad.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pemandu dan penumpang sebuah kereta cedera setelah kenderaan dinaiki terbabas dan terbalik dalam kemalangan dekat Kilometer 49.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di sini pada Ahad.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, siasatan dijalankan mendapati kejadian berlaku pada jam 10.15 pagi.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati, kereta jenis Proton Waja dinaiki dua mangsa itu dari Kuantan menuju ke Kedah manakala Honda City dari Temerloh menuju ke Shah Alam.

"Setibanya di lokasi kejadian, Honda City terbabit dipercayai dipandu dengan cuai selain bertindak menghimpit dan menekan brek sehingga menyebabkan pemandu Proton Waja itu gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Katanya, akibat kejadian, dua individu iaitu pemandu dan penumpang Proton Waja berkenaan mengalami kecederaan.

"Kedua-dua mangsa terlibat berumur 50-an dan 30-an mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan.

Iklan

"Mereka bagaimanapun disahkan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada Isnin, tular video di media sosial kemalangan melibatkan sebuah kenderaan setelah dipercayai dihimpit sebuah kenderaan lain.

Tindakan dua lelaki memandu dengan melulu berakhir dengan kemalangan apabila salah sebuah kereta terlibat hilang kawalan sebelum terbabas dalam kejadian dekat Kilometer 49.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di sini pada Ahad.

Video tular berdurasi 1 minit 41 saat itu memaparkan kejadian bermula apabila Proton Waja terlibat dipercayai menukar lorong dari lorong kiri ke lorong kanan.

Masa sama Honda City dari arah belakang dipandu seorang lelaki tidak berpuas hati dengan tindakan Proton Waja itu kemudiannya mengekori rapat sebelum berlaku kejadian himpit menghimpit antara kedua buah kenderaan itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28