KUALA LUMPUR – Dijangka berbaki sehari lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya namun bagi warga kota kesempatan dan waktu yang ada digunakan sebaiknya untuk membeli barangan untuk juadah di pagi Lebaran.
Tinjauan Sinar Harian di Pasar Chow Kit pada pagi Isnin mendapati masih terdapat segelintir warga kota yang masih mencari barangan basah untuk persiapan menyambut perayaan itu.
Bagi pekerja swasta, Faridah Adnan, 45, berkata, tidak semua tempat ada barangan basah yang dicari.
"Hari ini adalah hari kedua saya keluar cari bang basah yang tidak cukup seperti ayam, daging dan sayuran kerana adik beradik akan berkumpul di rumah ibu pada pagi raya setiap tahun.
"Jadi saya anak yang tinggal bersama emak kenalah buat persiapan, pergi pasar, memasak dan sebagainya,” katanya yang tinggal di Kampung Sungai Pelong, Sungai Buloh.
Menurutnya dia membelanjakan kira-kira RM600 untuk memastikan barangan mentah untuk dimasak mencukupi.
Pesara Idham, 50, berkata, dia berbelanja kira-kira RM300 untuk membeli barangan basah di pasar untuk kegunaan seminggu.
"Memang datang selalu datang ke pasar sini (Chow Kit) sebab banyak pilihan, harga pun boleh pilih-pilih kena pada bajet kita beli.
"Hari Raya di sini sahaja, anak-anak balik jadi kena buat persediaan tahun ini pagi raya masak rendang dan juga nasi impit,” katanya
Sementara itu, Mohd Rafi Hussin, 48, berkata, tahun ini dia tidak pulang ke kampung halamannya di Kedah kerana isterinya sarat mengandung dan menunggu hari ini untuk bersalin.
"Tapi raya pertama adik-adik ada yang tak balik kampung kerana kerja, jadi kami bercadang berkumpul di rumah saya, beli barang untuk masak pun kongsi-kongsi dalam RM500 juga habis beli barang basah,” katanya.
Manakala, peniaga ayam Nur Iman Hussin, 29, pula mengakui dia tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang pada Ahad.
"Semalam (Ahad) ayam, daging semua habis licin sebab cuti hujung minggu, hari ini tak begitu ramai kerana ramai yang dah pulang ke kampung,” katanya.
Jelasnya, peniaga di pasar itu rata-ratanya memberikan harga paling kompetitif dan tidak membebankan pembeli dan pelanggan setia masing-masing.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!