Pengguna jalan raya pengotor di Melaka berdepan kompaun

Iklan
Ops Tangan Sampah dilancar bagi mengesan pengguna jalan raya membuang sampah di luar kenderaan. Gambar hiasan. 123RF

MELAKA - Kerajaan Melaka mengarahkan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu melancarkan Ops Tangan Sampah bagi mengesan pengguna jalan raya membuang sampah di luar kenderaan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, arahan mengeluarkan kompaun kepada pemandu yang melakukan kesalahan itu termasuk di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemandu boleh dikenakan kompaun antara RM250 hingga RM500 sekali gus langkah ini menyahut saranan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming meminta semua agensi di bawahnya termasuk PBT bertindak tegas terhadap pihak yang sengaja membuang sampah merata-rata dalam musim perayaan ini.

"Semua PBT di Melaka diminta lancarkan Ops Tangan Sampah yang mana sebenarnya kita dah ada tindakan boleh diambil di bawah Akta 133.

Iklan

"Kompaun itu bukan sahaja terpakai untuk kesalahan buang sampah keluar dari kenderaan, namun di mana sahaja supaya Melaka tidak dicemari sampah khususnya ketika musim Aidilfitri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 150 penerima di DUN Paya Rumput di Tanjung Minyak di sini, pada Isnin.

Iklan

Baru-baru ini tular di media sosial gambar sampah sarap yang dibuang pengguna jalan raya di bahu jalan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang bermula dari Bentong ke Lipis dan Gua Musang.

Media pada Sabtu lalu turut melaporkan Kor Ming mengarahkan semua PBT untuk mengeluarkan kompaun terhadap pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di tepi jalan.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, berkata, orang awam juga boleh membantu menjadi mata dan telinga PBT dengan menyalurkan gambar serta maklumat kesalahan dilakukan melalui platfom media sosial semua empat PBT di negeri ini.

"Aduan juga boleh dikemukakan melalui laman sosial semua PBT dan saya akan minta mereka untuk ambil tindakan segera.

"Tindakan tegas akan diambil walaupun ketika musim cuti Aidilfitri dan penguat kuasa akan ditempatkan di mana-mana sahaja untuk mengesan kesalahan dilakukan," katanya lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28