KUALA LUMPUR - Logo pada tapak kasut keluaran jenama Vern’s yang didakwa seakan-akan kalimah ALLAH, tidak menyamai kalimah suci itu dalam aspek seni penulisan khat, tegas pakar tulisan khat, Prof Madya Dr Nor Azlin Hamidon.
Beliau yang juga Pensyarah Bidang Pengajian Budaya Seni Visual, Pengkhususan Seni Islam dan Seni Khat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, ini kerana logo berkenaan mempunyai lebihan garisan yang merosakkan penulisan kalimah ALLAH.
"Dari sudut pendapat khattat (penulis atau pakar khat), logo berkenaan dilihat tidak menepati sebarang kaedah penulisan khat yang diterima secara tradisi dan reka bentuknya adalah dalam kategori khat bebas.
"Kemungkinan ia tidak disengajakan dari aspek reka bentuk kasut tumit tinggi berkenaan," kata beliau yang merupakan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan, ketika dihubungi Bernama di sini pada Isnin.
Sebelum ini tular satu video berdurasi tiga minit menerusi media sosial mengenai seorang lelaki yang mendakwa kasut Vern’s dibelinya memaparkan logo seakan-akan kalimah ALLAH pada bahagian tapak kasut berkenaan.
Nor Azlin berkata, kekeliruan berlaku apabila bentuk logo itu hanya melakar dua outline badan kasut tumit tinggi dan ‘loop’ atau garis putaran yang mewakili tali kasut seperti dinyatakan oleh pihak jenama kasut terkenal berkenaan."Bentuk putaran tali pada logo kelihatan kalimah ALLAH yang lengkap terutamanya pada bentuk garis seakan tulisan huruf jawi 'ha' (bahagian hujung putaran yang bersambung dengan bentuk kasut tumit tinggi). Itu adalah bentuk tambahan yang menjadikan titik punca masalah berbentuk kalimah ALLAH.
"Garis putaran itu juga bersifat nipis pada garis putaran pertama, seolah-olah menyerupai tulisan huruf jawi 'alif' sehingga kelihatan ia hampir terputus atau tidak bersambung. Itu yang menyebabkan orang boleh membacanya seperti kalimah Allah," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya reka bentuk logo itu tidak disengajakan oleh pihak jenama kasut berkenaan, maka ia perlu diperbaiki untuk mengelakkan isu sensitif ini terus berlaku.
Nor Azlin turut berharap supaya hal sebegini dijadikan pengajaran serta tidak diulangi oleh semua pihak pereka bentuk barangan mahupun produk dalam mana-mana bidang.
Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Dr Abd Rahman Hamzah berkata, lakaran atau rekaan yang tertera di tapak kasut berkenaan tidak jelas dan tidak terkait dengan kalimah ALLAH, selain bentuknya terlalu samar dan banyak kemungkinan untuk mentafsir logo itu.Beliau berkata, isu ini boleh disamakan seperti bentuk huruf 'T' atau '+' (tanda salib) pada corak atau hiasan yang dikaitkan dengan tanda salib agama Kristian.
"Kita sewajarnya tidak mudah melatah, bukan semua huruf 'T' itu tanda salib. Geometri Islam juga banyak bentuk begitu sejak berzaman,” katanya sambil menambah adalah wajar untuk perkara itu tidak dipanjangkan.
Sementara itu Pensyarah Pengajian Islam, Syariah, Fiqh Wa Usul dan Al-Quran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Abdul Hanis Embong berkata, umat Islam khususnya tidak boleh memecahkan logo itu dengan hanya memfokus kepada loop atau garis putaran yang mewakili tali kasut semata-mata, sekali gus menyamakan ia dengan kalimah ALLAH.
Beliau yang juga Timbalan Dekan (Bakat dan Penyelidikan) Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan UMT berkata, ia bukanlah seratus peratus menyamai kalimah suci.
"Kalau tengok secara keseluruhan logo itu, memang tidak akan nampak (kalimah ALLAH). Sebab itu kita jangan pecahkan dia. Mana-mana logo pun kalau dipecahkan dia boleh timbulkan salah faham. Sama macam ucapan yang mana apabila diambil separuh-separuh, konteksnya akan lari.
"Syarikat kasut itu pun sudah beri penjelasan. Jadi, sebagai orang yang waras kita boleh tengok justifikasi dia... sebab kalau ikut apa yang dimaklumkan itu adalah tumit kasut dan tali kasut,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28