B40, sebahagian M40 dijangka terima bantuan tunai subsidi bahan api - Penyelidik

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM - Kumpulan B40 dan sebahagian M40 (M1 dan M2) dijangka menerima bantuan tunai sekiranya pelan rasionalisasi subsidi bahan api dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini.

Ketua Penyelidik TA Securities, Kaladher Govindan berkata, golongan terbabit wajar mendapat bantuan tunai daripada kerajaan untuk meneutralkan kesan negatif disebabkan kenaikan harga bahan api jika ia diapungkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi kumpulan berpendapatan tinggi yang terjejas, mungkin terdapat beberapa perubahan dalam tabiat penggunaan pada peringkat awal.

"Ia mungkin tidak kekal kerana mereka menyedari kesan ke atas kuasa beli adalah sedikit disebabkan ekonomi semakin berkembang dan pasaran buruh yang kukuh menghasilkan pertumbuhan pendapatan lebih tinggi.

Iklan

"Sebagai contoh, setiap kenaikan 40 sen daripada anggaran kenaikan 20 peratus harga semasa RON95 bagi RM2.05 seliter, purata pengguna yang membelanjakan RM300 setiap bulan untuk petrol akan menyaksikan peningkatan sebanyak RM60 dalam bil bulanan mereka.

"Kenaikan ini akan jauh berkurangan bagi mereka yang menggunakan motosikal terutamanya golongan B40 malah dalam jangka masa panjang, manfaatnya akan berlipat kali ganda jika kerajaan menyalurkan simpanan ke dalam usaha niaga yang produktif,” katanya dalam satu nota penyelidikan pada Isnin.

Iklan

Mengulas lanjut, Kaladher berkata, tugas penting kerajaan dalam peningkatan harga tersebut adalah memastikan pemantauan yang betul dan penguatkuasaan undang-undang untuk mencegah peniaga serta syarikat mengambil kesempatan menaikkan harga produk dan perkhidmatan mereka sewenang-wenangnya.

Beliau berkata, tinjauan teguh berkenaan harga minyak mentah dunia pada masa ini telah mendorong pihaknya mengekalkan pendirian bahawa pelan rasionalisasi bahan api yang disasarkan kerajaan akan dilaksanakan dalam tempoh tersebut.

Ujarnya, ketidakpastian ke atas kuantum kenaikan harga bahan api di pam dan implikasinya terhadap penggunaan keseluruhan serta inflasi mungkin terus membelengu pelabur yang bimbang mengenai kenaikan terlalu besar akan menjejaskan ekonomi secara negatif.

"Berdasarkan pengiraan kami, setiap kenaikan 10 sen seliter harga di pam akan menaikkan inflasi sebanyak 0.2 mata peratusan.

"Tetapi kami percaya kenaikan harga di pam ini akan dilaksanakan secara beransur-ansur dan mungkin menyasarkan penjimatan tahunan sekitar RM10 bilion (anggaran kenaikan 40 sen seliter bagi RON95),” katanya lagi.

Tambah Kaladher, ketegangan yang semakin meningkat di Timur Tengah boleh menambah kepada tekanan berikutan harga minyak mentah memberikan tekanan terhadap harga barangan dan perkhidmatan.

Beliau berkata, harga minyak mentah meningkat selepas beberapa siri laporan pada minggu lalu membangkitkan kebimbangan mengenai gangguan bekalan di tengah-tengah permintaan yang bertambah baik.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28