Anggota Maritim Malaysia kongsi insiden cemas: 'Niat nak bantu, dibalas tembakan'

Iklan
Bot peronda Maritim Malaysia yang diserang oleh tiga orang suspek sewaktu Ops Khas Pagar Laut di perairan Kunak. Foto Bernama

TAWAU - Niat asal untuk memeriksa sebuah bot yang kelihatan ‘tersadai’ di perairan Kampung Pangi, Kunak sekali gus mahu menawarkan bantuan jika bot itu mengalami kerosakan, menjadi situasi cemas apabila dibalas dengan empat tembakan dari tekong bot.

Menceritakan semula detik kejadian, Bintara Muda Maritim dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zainal Abad Komel, 45, berkata, kejadian itu berlaku pantas dan tidak menjangkakan bot yang ditemui itu ialah sebuah bot penjenayah.

Iklan
Iklan

"Pada 8.30 pagi, kebiasaannya nelayan balik kampung, lagipun lokasi ini di depan Kampung Pangi, biasa orang kampung balik dari memancing, memukat... bot yang dihampiri dilihat membawa muatan yang ditutupi kanvas.

Semalam media melaporkan dua anggota Maritim Malaysia yang dalam tugasan Ops Khas Pagar Laut cedera ditembak, selepas menghampiri sebuah bot untuk melakukan pemeriksaan, namun empat das tembakan dilepaskan dari bot berkenaan ke bot maritim.

Iklan

Ekoran kejadian 8.30 pagi di kedudukan 0.2 batu nautika timur laut, Kampung Pangi di Kunak itu menyebabkan Zainal cedera di mata kiri, manakala Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua-dua belah tangan.

Zainal berkata, tembakan kedua itu mengenai bawah mata dan darah memancut keluar.

Iklan

"Kejadian ini tidak mematahkan semangat saya, kalau saya elok hari ini, saya nak turun cari balik mereka,” katanya sambil menambah turut reda dengan kecacatan sebelah mata yang dialami.

Zainal yang berasal dari Negeri Sembilan itu berkata, insiden itu merupakan kejadian pertama kali dihadapi, sepanjang 19 tahun berkhidmat bersama Maritim Malaysia.

Sementara itu seorang lagi anggota cedera Prayrie berkata, ketika kejadian tekong bot sahaja memegang senjata dan melepaskan empat das tembakan ke arah bot maritim.

"Bot itu cuba memecut laju, tetapi saya juga melepaskan lima das tembakan ke arah bot itu, saya nampak dua orang rebah, tetapi saya tidak pasti sama ada rebah sebab terkena tembakan atau mengelak.

"Selepas saya melepaskan tembakan itu, bot (penjenayah) itu berhenti kira-kira dua minit, sebelum ada yang mungkin merangkak dan bot itu memecut laju,” katanya lagi.

Prayrie yang juga cedera di kedua-dua belah tangan berkata bot maritim ketika itu tidak dapat mengejar bot penjenayah berkenaan, kerana faktor air surut.

Dalam kejadian itu empat lagi anggota maritim yang bersama mereka dalam rondaan itu tidak mengalami kecederaan. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28