SUNGKAI - Setiap kali berbicara untung dan rugi peniaga di bazar Ramadan, pasti ramai ingin menceburi perniagaan air balang kerana ia menjadi salah satu jualan yang mampu meraih keuntungan berlipat kali ganda.
Berkongsi kisah perjalanan bergelar peniaga air, Muhamad Hamdan Zolkifli, 37, berkata, dia berani untuk menjual air balang kerana modal yang diperlukan tidak begitu besar tetapi boleh mendapatkan pulangan lumayan.
Menurutnya, cuaca merupakan faktor utama yang menentukan sama ada jualan pada hari berkenaan laris atau sebaliknya.
"Kalau cuaca hujan, saya boleh dapat jualan sekitar RM500. Jumlah itu tidak banyak tetapi saya masih untung,” katanya ketika ditemui di bazar Ramadan Felda Gunung Besout 1 di sini.
Dalam pada itu, Muhamad Hamdan memberitahu, bagi memastikan orang ramai tertarik untuk membuat pembelian, dia menyajikan 11 pilihan air yang berbeza dengan gerai lain.
Katanya, sepanjang 10 tahun berniaga, dia mementingkan penggunaan bahan-bahan berkualiti terutamanya dalam aspek pemilihan buah, pewarna dan sebagainya.
"Salah satu tarikan yang saya lakukan di gerai ini adalah dengan memperkenalkan air istimewa iaitu Jimmy Asmara yang mana ia merupakan campuran jus oren dan perisa buah-buahan.
"Alhamdulillah, air ini yang paling laris sepanjang saya berniaga sehinggakan saya terpaksa membancuh satu atau dua balang tambahan,” ujar bapa kepada dua orang anak itu.
Mengulas mengenai harga jualan, Muhamad Hamdan berkata, dia sama sekali tidak mahu mengambil kesempatan ke atas kenaikan kos perniagaan.
Menurutnya, walaupun saban tahun modal semakin meningkat, dia tetap dengan pendirian untuk mengekalkan harga iaitu RM3 sebungkus.
Tambah Muhamad Hamdan, dia tidak boleh menaikkan harga sesuka hati disebabkan lokasi bazar Ramadan terletak di kawasan pedalaman dan pembeli terdiri daripada komuniti setempat.
"Kalau ikutkan pasaran luar, air balang ini boleh mencecah RM5 sebungkus tetapi saya masih mengekalkan RM3 sebungkus.
"Jika saya mahu kejar keuntungan, saya boleh naikkan harga, namun saya memilih untuk membantu pembeli mendapatkan air yang mereka inginkan pada harga berpatutan,” tambahnya.