Habis puluhan ribu sambut Syawal

Iklan
Antara barangan baharu yang dibeli Arba'yah untuk menyambut Aidilfitri tahun ini ialah set meja makan, kabinet televisyen dan karpet di ruang tamu. (Gambar kecil: Arba’yah)

SHAH ALAM - Seorang usahawan sanggup berbelanja puluhan ribu ringgit membeli barangan baharu bagi menghiasi kediamannya untuk menyambut Syawal tahun ini.

Ibu kepada enam cahaya mata, Arba’yah Datuk Utoh Said, 44, berkata, semua pembelian barangan baharu itu adalah mengikut trend semasa disebabkan mudah bosan dengan suasana di dalam rumah.

Iklan
Iklan

"Raya tahun ini saya beli empat pasang baju raya untuk setiap ahli keluarga dan jumlah perbelanjaan untuk pakaian sahaja sekitar RM5,000.

"Karpet di ruang tamu juga saya tukar baharu dengan harga melebihi RM1,000. Memang setiap tahun saya akan habiskan puluhan ribu, mungkin sebab anak-anak ramai,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Arba’yah turut memberitahu, dia memasang kabinet televisyen baharu berharga sekitar RM5,000 sebelum bulan Ramadan bagi menghiasi kediamannya.

Tambahnya, barangan lama akan diberikan kepada ahli keluarga lain atau jiran-jiran selain menjual dengan harga yang lebih murah dan berpatutan.

Iklan

Ujarnya, penggunaan bara-ngan di kediamannya setakat satu tahun atau dua tahun sahaja, seterusnya dia membuat pilihan untuk membeli barangan baharu setiap kali Aidilfitri.

"Sejak beberapa tahun lalu, saya memang suka menukar konsep hiasan dala-man rumah supaya tidak bosan dengan susun atur yang sama.

"Lagipun, kita meraikan raya hanya setahun sekali, jadi apa salahnya kita menyambutnya dengan lebih meriah,” katanya.

Dalam pada itu, Arba’yah turut menasihatkan supaya menyimpan wang secara bulanan supaya dapat digunakan sewaktu kecemasan.

"Sebenarnya menyimpan duit ini memang perlu berdisiplin, kalau tidak memang tiada wang yang boleh digunakan semasa kecemasan.

"Belajarlah menyimpan walaupun hanya satu peratus daripada gaji bulanan yang kita terima,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!