MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengingatkan para atlet negara untuk menjaga keselamatan diri termasuk aspek pemakanan sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Beliau berkata, keterujaan penggunaan media sosial juga perlu dikawal serta diurus dengan baik bagi mengelak sebarang prasangka yang boleh mengundang perkara negatif buat arena sukan negara.
Malah tambahnya, sambutan perayaan tersebut menjadi masa terbaik buat para atlet meluangkan masa bersama keluarga tercinta setelah sebahagian waktu digunakan untuk berjuang membawa nama negara di pentas antarabangsa.
"Saya dan timbalan, Adam Adli Abd Halim mewakili Kementerian Belia dan Sukan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia yang menyambutnya.
"Berhati-hati juga ketika bermain dengan media sosial. Setiap apa yang anda muat naik menjadi perhatian warganet. Nanti jangan ada yang mengadu para atlet tak jaga makan,” katanya.
Hannah turut mengingatkan warga sukan agar tidak terlalu leka ketika menyambut lebaran susulan tanggungjawab besar menanti mereka termasuk bakal membawa cabaran negara pada Sukan Olimpik Paris dan Sukan Paralimpik Paris 2024.
Beliau juga memuji para atlet yang tetap bersemangat dan menanam tekad untuk berkorban buat negara apabila ada dalam kalangan mereka yang sanggup memendekkan cuti untuk menyambut perayaan.
"Nasihat saya kepada atlet, tahun ini mereka akan balik bercuti bersama keluarga dan mereka juga tahu bahawa selepas cuti raya kena cepat-cepat balik kepada rutin latihan mereka.
"Kesedaran juga wujud semasa saya berbincang dengan para atlet. Mereka kata sebenarnya dua hari sudah maksimum untuk sambut Syawal dan selepas itu cepat-cepat nak balik berlatih,” katanya.
Di sebalik sambutan lebaran tersebut, Hannah turut melahirkan setinggi penghargaan buat keluarga para atlet yang banyak berkorban sedia melepaskan anak-anak dan pasangan mereka untuk menyumbang bakti buat negara.
"Saya juga mahu ucapkan terima kasih kepada isteri dan suami atlet kerana benarkan pasangan mereka menyumbang tenaga dan masa untuk perjuangkan nama negara dalam arena sukan dunia,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!