DUNIA baru sahaja mengalami Mac paling panas terburuk sejak 1850.
Berdasarkan laporan dikeluarkan Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah (EU) (C3S), dalam tempoh April 2023 hingga Mac 2024, suhu purata global ialah 1.58 darjah Celsius dan ia melebihi purata dalam tempoh pra-industri 1850-1900.
Timbalan pengarah C3S, Samantha Burgess berkata, trend jangka panjang dengan rekod luar biasa ini menunjukkan kepada dunia bahawa iklim berubah dengan cepat.
Menurutnya, cuaca ekstrem dan suhu luar biasa tahun ini merupakan terburuk sejak 1850 dan ia mendatangkan banyak kejadian bencan alam.
Kemarau yang didorong oleh perubahan iklim di kawasan hutan hujan amazon telah mencetuskan sejumlah kebakaran hutan di Venezuela dari Januari hingga Mac.
Sementara kemarau di Afrika Selatan telah menghapuskan tanaman dan menyebabkan berjuta-juta orang menghadapi kelaparan.
Para saintis marin juga memberi amaran bulan lepas satu peristiwa pelunturan karang besar-besaran mungkin berlaku di hemisfera selatan, didorong oleh air yang semakin panas dan boleh menjadi yang paling teruk dalam sejarah planet ini.
Punca utama haba luar biasa adalah pelepasan gas rumah hijau yang disebabkan oleh manusia, kata C3S.
Faktor lain yang mendorong kenaikan suhu termasuk El Nino dan corak cuaca yang menghangatkan permukaan air di timur Lautan Pasifik.
El Mino mencapai kemuncak pada Disember hingga Januari dan kini semakin lemah, yang mungkin membantu untuk memecahkan rentetan panas menjelang akhir tahun.
Meskipun El Nino mereda pada Mac, purata suhu permukaan laut dunia mencecah rekod tertinggi, untuk mana-mana bulan dalam rekod, dan suhu udara marin kekal tinggi luar biasa. - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!