KUANTAN - Jualan daging segar sempena Aidilfitri kali ini mendapat sambutan dua kali ganda daripada pelanggan.
Rata-rata peniaga ketika ditemui memaklumkan lebih 600 kilogram (kg) daging segar habis selepas beberapa jam dijual kepada orang ramai.
Peniaga, Mohd Hafizan Azmi, 29, berkata, hampir empat ekor lembu telah dijual setakat ini.
"Dianggarkan lebih 600kg daging segar telah dibeli pelanggan, saya kira jumlah ini sudah cukup banyak.
"Alhamdulillah bila jualan laris, (ia) seperti bonus kepada kami peniaga daging di sini," katanya ketika ditemui di Jalan Gambang, Batu Tiga di sini pada Selasa.
Dia yang menjual daging segar sejak dua tahun lalu memberitahu harga daging dijual sekitar RM36 sekilogram, tulang pula RM38, perut pada harga RM25 untuk setiap kilogram (kg).
"Harga yang ditawarkan ini mengikut harga semasa dan kawalan (ditetapkan kerajaan).
"Jadi, kita tidak boleh menjual pada harga melebih RM40kg," katanya.
Seorang lagi peniaga daging lembu, Hafizullah Ramli, 29, bersyukur kerana bahan mentah berkenaan mendapat permintaan luar biasa daripada orang ramai.
Katanya, walaupun aktiviti penjualan daging hanya dibuat pada beberapa hari menjelang Syawal, namun laris.
"Biasa bila sudah dekat raya, orang ramai datang cari daging segar untuk juadah di pagi raya.
"Untuk hari ini, dalam 120kg daging habis terjual dan alhamdulillah rezeki kami peniaga," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28