SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Platform media sosial, TikTok dan Meta digesa meningkatkan usaha pemantauan susulan peningkatan kandungan dalam talian yang memudaratkan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi kenyataan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, kedua-dua platform itu turut diarahkan membendung kandungan kelakuan tidak sahih tersusun dan mengambil tindakan segera ke atas kandungan terlibat seperti scam serta perjudian haram dalam talian.
"Berdasarkan statistik, terdapat peningkatan kandungan memudaratkan di media sosial dan platform over the top (OTT).
"Bagi tiga bulan pertama tahun ini sahaja, sejumlah 51,638 kes telah dipanjangkan kepada penyedia platform dalam talian untuk tindakan lanjut.
"Jumlah ini adalah tinggi berbanding 42,904 kes kandungan direkodkan sepanjang tahun lalu," katanya.
Dalam pada itu, TikTok dan Meta turut diarah menangani kandungan berkaitan 3R (agama, raja dan kaum) secara efektif dengan merujuk garis panduan platform dan undang-undang Malaysia.
Selain itu kedua-dua platform turut diarahkan menambahbaik sistem keselamatan dalam talian khususnya melakukan pengesahan umur minimum 13 tahun untuk mengakses platform media sosial.
Tindakan tersebut bagi memastikan kanak-kanak tidak terpengaruh dengan kandungan memudaratkan di media sosial.
"Pada masa sama, melihat semula kecekapan algoritma yang memacu kecerdasan buatan dan keupayaan pembelajaran mesin bagi mengesan kandungan 3R kelakuan tidak sahih tersusun atau sebarang kandungan memudaratkan.
"TikTok dan Meta telah disyaratkan untuk menyediakan pelan penambahbaikan dan strategi dengan butiran menyeluruh sebagaimana dipersetujui," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28