Raya tanpa air: Penggali telaga tiub terima 50 panggilan sehari

Iklan
Masalah air yang sering membelenggu rakyat di negeri ini terutamanya di musim perayaan menyebabkan ramai yang terpaksa mencari alternatif dengan menggali telaga tiub untuk mendapatkan sumber bekalan.

KUALA KRAI - Masalah air yang sering membelenggu rakyat di negeri ini terutamanya pada musim perayaan menyebabkan ramai terpaksa mencari alternatif dengan menggali telaga tiub untuk mendapatkan sumber bekalan.

Kaedah tersebut dilihat mampu menghilangkan kegusaran disaat nenyambut kepulangan insan tersayang pada hari lebaran.

Iklan
Iklan

Permintaan luar biasa rakyat Kelantan untuk mendapatkan bekalan air sempena Aidilfitri kali ini ditambah lagi dengan keadaan cuaca kemarau bagaikan durian runtuh buat seorang penggali telaga tiub, Mohd Jamil Yaacob, 35, apabila dia dan sembilan pekerjanya tidak menang tangan memenuhi kehendak pelanggan.

Mohd Jamil

"Setiap hari sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri saya menerima lebih 50 panggilan untuk kerja-kerja menggali telaga tiub.

Iklan

"Namun disebabkan kekurangan tenaga kerja dan kekangan masa serta peralatan saya terpaksa menolak pekerjaan tersebut," katanya ketika ditemui di Kampung Bechah Salak, Guchil di sini.

Beliau yang popular dengan gelaran Raja Air Boring memberitahu, permintaan 'luar biasa' itu disebabkan oleh orang ramai tidak sanggup menyambut lebaran tanpa air bersih.

Iklan

Ujarnya, bekalan air bersih yang disediakan oleh kerajaan negeri tidak mampu menampung permintaan pengguna sepanjang tempoh tersebut.

"Mengikut kata pelanggan mereka tidak sanggup untuk beraya tanpa bekalan air.

"Syawal tanpa bekalan air sempurna amat perit untuk dilalui, lebih-lebih lagi apabila semua ahli keluarga berkumpul.

"Hari raya kali ini kami hanya sempat bercuti beberapa hari sahaja, selebihnya bekerja untuk menyiapkan telaga tiub secepat mungkin mengikut kehendak pelanggan," katanya.

Mohd Jamil (kanan) dan pekerjanya sedang menyiapkan telaga tiub di Kampung Bechah Salak, Guchil, Kuala Krai.

Menurut Mohd Jamil, ada dalam kalangan pelanggan sanggup membayar lebih jika kerja-kerja menggali telaga tiub itu dapat disempurnakan sebelum Syawal.

Beliau berkata, bagaimanapun setiap hari dia hanya mampu melakukan 10 kerja-kerja menggali telaga tiub sahaja.

Ujarnya, kebiasaan kerja-kerja tersebut mengambil masa antara satu hingga tiga hari bergantung kepada lokasi telaga tersebut.

Kaedah tersebut dilihat mampu menghilangkan kegusaran disaat menyambut kepulangan insan tersayang pada hari lebaran.

Anak kelahiran Kampung Kubang Golok, Bachok itu memberitahu, beliau menawarkan perkhidmatan menggali telaga tiub bermula pada harga serendah RM1,000 dan ke atas bergantung kepada keadaan bentuk muka bumi.

"Paling mahal caj menggali telaga ini boleh mencecah sehingga RM200,000 bergantung kepada lokasi dan kedalamannya terutama apabila melibatkan kawasan berbatu," katanya.

"Saya boleh katakan 40 peratus rakyat di negeri ini menggunakan telaga tiub untuk mendapatkan sumber air akibat masalah bekalan," katanya.

Bapa kepada lima orang anak itu memberitahu, tugas menggali telaga tiub tidak hanya tertumpu di seluruh Kelantan sahaja malah seluruh Malaysia termasuk Sabah serta Sarawak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!