SHAH ALAM - Tempahan hotel untuk kucing peliharaan mendapat permintaan tinggi menjelang musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar Lembah Klang mendapati kebanyakan pengusaha penginapan ‘si bulus’ ini membuat persediaan dari segi membuka tempahan lebih awal kepada pelanggan-pelanggan untuk meninggalkan kucing mereka sempena cuti perayaan berkenaan.
Pemilik Cattopia Cat Hotel and Grooming Shah Alam, Alfzhan-Kamil Ahmad Kamil, 34, berkata, pihaknyamembuka tempahan penginapan hotel untuk musim perayaan Aidilfitri sejak Januari tahun ini dan berjaya penuh dalam masa dua minggu sahaja.
"Ia kerana kami mempunyai pelanggan tetap yang akan menempah untuk penginapan kucing mereka. Tahun ini Alhamdulillah, hotel kucing kami penuh untuk kedua-dua cawangan termasuk di Petaling Jaya.
"Untuk hari raya, pelanggan wajib daftar masuk dua hari sebelum dan hanya boleh daftar keluar pada hari raya ketiga ke atas sahaja.
"Sepanjang cuti hari raya, pekerja kami akan datang setiap hari untuk bersihkan bilik dan suite selain memberikan makan dan minum kepada kucing. Untuk penginapan pula, kami sediakan secara percuma makanan dan juga pasir kucing,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Dalam pada itu, pemilik kepada Meow Cabin Cat Hotel, Nazrathul Seemah Abd Rahim, 46, berkata, pihaknya memilih untuk memberi keutamaan penginapan kepada pelanggan tetap dan mereka yang membuat tempahan awal kepada hotel berkenaan terlebih dahulu.
Ujarnya, kakitangan hotel juga akan menyediakan bilik kosong sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku kes-kes kecemasan melibatkan kesihatan kucing.
"Kalau macam bulan puasa, Ramadan pertama itu sudah penuh. Kami terpaksa tutup dan tidak ambil lagi tempahan untuk penginapan hotel sebab kebanyakan pelanggan adalah pelanggan tetap kami.
"Pelanggan yang datang semula semuanya sudah biasa dengan perkhidmatan kami, sudah tahu peraturan ditetapkan dan biasa dengan kakitangan.
"Dari segi kapasiti, kami tidak 100 peratus penuh kerana masih tinggalkan satu atau dua kabin sekiranya berlaku kecemasan contohnya kucing tidak sihat dan perlu dikuarantin, jadi kita anggarkan dalam 100 ekor kucing untuk penginapan,” ujarnya.
Sementara itu, pemilik Adeq Ompot Pets Hotel & Spa, Kherun Nissa Ismail, 49, berkata, menjelang sambutan hari raya Aidilfitri pada tahun ini, hotelnya juga turut membuat persediaan tertentu termasuk dari segi menambah bilangan bilik sedia ada.
"Tujuan kami tambah bilik-bilik itu salah satu sebabnya ialah demi pelanggan lama, kadang-kala apbila mereka lambat buat tempahan, maka bilik penuh.
"Oleh sebab kita nak bantu jaga kucing mereka, kita tambahkan bilik. Lambat itu maksudnya mereka buat tempahan masa minggu pertama puasa, sedangkan pelanggan baharu sudah buat tempahan lebih awal daripada itu.
"Selain itu, untuk raya ini kita bagi tawaran khas, pelanggan akan dapat diskaun 10 peratus bagi mereka yang tinggalkan kucing untuk tujuh hari dan ke atas,” ulasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!