SHAH ALAM - Umat Islam di Malaysia sibuk membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Rabu.
Tinjauan Sinar Harian di aplikasi X mendapati, ramai yang berkongsi juadah istimewa masing-masing, di samping menunjukkan persediaan menyiapkan juadah hari raya.
Tidak terkecuali bagi usahawan yang juga pempengaruh terkenal, iaitu Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman.
Menurutnya, antara juadah yang disediakan sempena hari raya nanti ialah rendang, soto ayam dan ayam kicap pedas.
"Bekukan and nanti panaskan balik je. Selamat hari raya guys!" katanya.
Bagi pempengaruh, Muhammad Azfar Herisyam atau Azfar Heri, sambal ayam dan rendang daging menjadi pilihannya.
"Aku dah siap masak-masak tau. Sambal ayam & rendang daging is doneeee," katanya sambil berkongsi gambarnya memasak rendang.
Bagi pemegang akaun @fffjnw, meluahkan rasa gembiranya dapat makan awal ketupat, rendang daging dan kuah kacang hasil air tangan datuk dan ibu mertuanya.
"Happy tummy happy me. Awal dapat makan ketupat dengan rendang daging dan kuah kacang. Sedap betul atok and mil (ibu mertua) masak!" jelasnya.
Pemegang akaun @heysyazaaaaa pula memberitahu, terpaksa beratur selama 4.5 jam semata-mata kerana mahu membeli lemang daun lerek.
Jelasnya, dia sendiri seakan tidak percaya mampu bersabar beratur panjang.
Terdahulu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Rabu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28