KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Islam.
Menurut catatan di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda berdoa mudah-mudahan segala amalan yang telah dibuat pada bulan Ramadan yang lalu akan mendapat keberkatan dan diterima oleh-Nya.
"Sesungguhnya, kedatangan bulan Syawal ini disambut dengan penuh rasa gembira dan bersyukur di atas nikmat dan rahmat yang telah dikurniakan,” titah Seri Paduka Baginda.
Dalam hantaran itu, Sultan Ibrahim turut menyeru agar semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, untuk meraikan bulan Syawal ini dengan amalan ziarah-menziarahi bagi mengeratkan silaturahim serta mengukuhkan perpaduan masyarakat.
Seri Paduka Baginda bertitah supaya semua pihak mengambil peluang ini untuk bermaaf-maafan, terutama dalam kalangan ahli keluarga, saudara-mara dan rakan taulan.
"Akhir kata, marilah kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala semoga dikurniakan rahmat, keamanan dan kemakmuran yang sempurna lagi berkekalan kepada negara serta semua Bangsa Malaysia. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin,” titah Seri Paduka Baginda.
Terdahulu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!