Aidilfitri harus dimanfaat bina iltizam perkukuh perpaduan - Ahmad Zahid

Iklan
KUALA LUMPUR - Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini seharusnya dimanfaatkan untuk membina iltizam demi memperkukuh perpaduan dan membentuk kebersamaan sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang kehidupan, budaya, keturunan dan pegangan agama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kehadiran Aidilfitri merupakan nikmat besar dari Allah SWT kerana umat Islam berkesempatan mengerjakan ibadah berpuasa yang dituntut di dalam Islam.

Selain itu, ia merupakan perundangan dan madrasah agar umat Islam sentiasa memperkukuh ukhuwah dan tali persaudaraan sesama Muslimin dan Muslimat, kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

"Semoga setiap langkah kita dipenuhi dengan rahmat dan berkah dari Allah SWT,” katanya di Facebook rasmi beliau malam ini.

Turut menitipkan pesanan sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang mengharapkan agar Aidilfitri tahun ini diraikan dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan dengan harapan dapat mengukuhkan ukhuwah dan mengeratkan perpaduan yang tersedia terjalin, menerusi tradisi kunjung-mengunjung.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut menasihatkan perantau yang pulang ke kampung halaman agar berhati-hati ketika memandu dan berpesan bahawa keselamatan di rumah adalah sama pentingnya dengan keselamatan di jalan raya.

"Pastikan suis semua peralatan elektrik dipadam dan paip-paip ditutup rapat supaya air tidak melimpah ketika kita meninggalkan rumah. Dengan ini, barulah kita dapat menjamah ketupat dan rendang yang dihidangkan pada hari raya dengan tenang bersama keluarga tercinta,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di Facebook. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!