KEMENANGAN Barcelona ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan timbal balik pertama suku akhir Liga Juara-Juara pada Khamis merupakan yang pertama di fasa peringkat kalah mati dalam tempoh empat tahun.
PSG juara Ligue 1 Perancis, hadir ke perlawanan itu tanpa kalah dalam 27 aksi terakhir dalam semua kejuaraan, dinafikan semangat juang Barcelona yang ingin mengembalikan kelab La Liga Sepanyol tersebut ke puncak bola sepak Eropah.
Selepas momentum gemilang dari 2005 hingga 2015, memenangi empat kejuaraan Liga Juara-Juara, Barca gagal melepasi peringkat 16 terakhir dalam saingan elit Eropah dalam tiga musim berturut-turut selepas diaibkan 8-2 sensasi Bundesliga Jerman, Bayern Munich pada suku akhir 2019/20.
"Kita patut berbangga untuk mengatakan bahawa Barca masih hidup dalam kejuaraan ini.
"Kami memahami bagaimana perlu bekerja keras menentang antara pasukan terbaik dunia.
"Ya, satu kelebihan kecil tetapi keputusan positif di Paris menjana lebih keterujaan di bandar kami dan dalam kalangan peminat Barcelona," kata pengendali Barcelona, Xavi Hernandez.
Perlawanan di Parc des Princes Paris, penyerang Brazil, Raphinha menjaringkan dua gol untuk membantu Barcelona meraih kemenangan 3-2 sekaligus bekalan selesa untuk timbal balik kedua minggu depan.
"Ini adalah malam yang menakjubkan, bukan sahaja untuk saya, tetapi juga untuk kelab bola sepak Barcelona.
"Kami telah bekerja keras untuk keluar dan bermain seperti yang kami lakukan malam ini, menunjukkan semangat kami dengan suasana yang begitu baik adalah petanda yang sangat positif untuk bergerak ke hadapan," kata Raphinha.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28