Suami ditemui mati dengan kesan cekik, isteri ditahan

Iklan
Bedah siasat dijalankan mendapati terdapat kesan lebam dan cekik pada leher mangsa. Gambar hiasan.

IPOH - Seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat suaminya dipercayai dibunuh di sebuah rumah kosong di Tanjung Rambutan di sini pada Selasa.

Penahanan terhadap wanita warga asing berusia 37 tahun itu dibuat selepas bedah siasat dijalankan mendapati terdapat kesan lebam dan cekik pada leher mangsa.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahamad berkata, penemuan mayat lelaki berusia 25 tahun itu diterima daripada orang awam sekitar jam 10 pagi.

Menurutnya, mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di atas lantai dalam sebuah bilik di rumah yang belum siap dibina tersebut.

Iklan

"Kes ini pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut kerana tiada tanda-tanda unsur jenayah pada tubuh mangsa dan lokasi kejadian.

"Bagaimanapun hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di kepala akibat objek tumpul.

Iklan

"Pemeriksaan juga menemui kesan lebam baharu pada keseluruhan anggota badan mangsa dan kesan cekik pada leher," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, kes berkenaan diklasifikasi semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya, polis akan memanggil saksi-saksi terlibat untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Setakat ini, polis telah membuat tangkapan ke atas isteri mangsa.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintenden Chua Sze Yuan di talian 012-6195312 atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28