BATU PAHAT -"Aidilfitri kali ini dirasakan tiada makna tanpa Bella."
Itu luahan sayu kakak kepada Mila Sharmilah, Norhisham Samsusah, 37 atau Ayu yang memberitahu bahawa celoteh adiknya itu sebelum ini menjadi penyeri pada pagi raya kepada mereka sekeluarga.
Bella atau Mila Sharmila Samsusah, 32, yang dipercayai dibunuh pada Disember tahun lalu, sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan rangka tidak sempurna di sebuah rumah sewa terbiar di Tongkang Pechah pada 19 Januari lalu.
Mengulas lanjut Ayu berkata, lebih memilukan apabila kedua-dua anak Bella iaitu Eusuf Abdul Fatah, 5 dan Mariam, 3, kerap meluahkan rasa rindu terhadap ibu mereka.
"Ketika saya pakaikan Eusuf baju raya, dia beritahu 'mummy' (Bella) tak ada pun bersama ketika kita sekeluarga beraya tahun ini.
"Kata-kata daripada Eusuf itu menggambarkan kerinduannya terhadap 'mummy' yang sudah lebih empat bulan tidak ditemuinya itu," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya dekat sini pada pagi Aidilfitri.
Menurut Ayu lagi, kebiasaannya ketika pagi raya, Bella paling teruja membuat persiapan dan mereka sekeluarga akan pulang ke kampung di Kuala Selangor.
Ujarnya, mereka akan pulang lebih awal kerana mahu berkumpul bersama keluarga bersama-sama menghias rumah dan membuat kuih atau biskut raya.
"Itu semua tinggal kenangan, malah Syawal kali ini dirasakan terlalu sepi kerana tiada lagi celoteh Bella menyiapkan pakaian anak-anak.
"Begitu juga ketika Ramadan, kalau sebelum ini, kami berbuka puasa bersama namun kali ini terlalu sunyi rasanya," katanya.
Jelas Ayu, Eusuf dan Marian seakan mengharapkan seseorang untuk memberikan belaian kasih sayang seorang ibu.
"Saya kini menjadi ibu kepada Eusuf dan Mariam supaya mereka tidak terlalu sedih.
"Eusuf dan Mariam bukan lagi sekadar anak-anak saudara namun saya anggap sebagai amanah ALLAH untuk dididik dan dijaga.
"Selagi hayat dikandung badan, saya akan memberikan kasih sayang pada Eusuf dan Mariam seperti diberikan ibunya, Bella sebelum ini," katanya.
Kronologi kes Bella
14 Disember 2023 - Mila Shamila Samsusah atau Bella memberitahu mahu ke dobi di Simpang Rantai, Batu Pahat.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Bela keluar ke dobi bersama seorang teman lelaki.
16 Disember 2023 - Laporan polis pertama berhubung kehilangan Bella dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat. Polis kemudian mula buat hebahan mengenai kehilangan Bella di media sosial
19 Januari 2024 - Penemuan rangka manusia tidak sempurna di sebuah rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah.
20 Januari 2024 - Ujian DNA ke atas rangka ditemui bagi mengesahkan sama ada ia Bella atau individu lain.
23 Januari 2024 - Polis mengesahkan ujian DNA ke atas rangka ditemui sah milik Bella
24 Januari 2024 - Teman lelaki Bella, Mohammad Haikal dituduh membunuh Bella di Mahkamah Majistret Batu Pahat
24 Januari 2024 - Jenazah Bella dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya, Batu Pahat
26 Januari 2024 - Kakak Bella mendedahkan mereka sekeluarga menitiskan air mata apabila mendapati jasad adik tersayangnya tanpa kedua-dua tangan dan kaki.
28 Februari 2024 - Enam ketul tulang dilaporkan ditemui di belakang dan tepi rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah.
30 Mac 2024 - Enam ketul tulang yang ditemui berhampiran rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, sah milik Bella dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya, Batu Pahat
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28