WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengkritik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berhubung perang ke atas Gaza, menyifatkan pendekatannya sebagai 'kesilapan'.
"Saya fikir apa yang dia lakukan adalah satu kesilapan.
"Saya tidak bersetuju dengan pendekatannya," kata Biden kepada rangkaian TV berbahasa Sepanyol Univision yang berpangkalan di AS dalam satu temu bual pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.
"Apa yang saya minta ialah Israel menggesa untuk gencatan senjata, membenarkan akses sepenuhnya untuk tempoh enam hingga lapan minggu akan datang untuk semua makanan dan ubat masuk ke negara itu.
"Tiada alasan untuk tidak menyediakan keperluan perubatan dan makanan untuk penduduk. Ia perlu dilakukan sekarang," katanya.
Menurut Anadolu, kenyataan Biden dibuat selepas beliau berkata dalam satu kenyataan minggu lepas bahawa beliau 'marah' dan 'sedih' atas serangan udara Israel di Gaza yang mengorbankan tujuh pekerja badan amal makanan yang berpangkalan di AS, World Central Kitchen (WCK), menekankan bahawa Israel"tidak melakukan secukupnya untuk melindungi pekerja bantuan".
Israel telah melancarkan serangan tentera di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober, membunuh lebih 33,300 rakyat Palestin dan mencederakan hampir 76,000 selain kemusnahan kediaman dan infrastruktur pada skala besar dan kekurangan barangan keperluan.
Rejim itu dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang pada Januari lepas mengeluarkan keputusan interim yang mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza. - Bernama/Anadolu
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28