KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Israel yang ditahan di ibu negara kerana memiliki enam pistol dan 200 peluru pada 27 Mac lalu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
"Siasatan terhadap lelaki itu telah selesai dijalankan selepas pejabat Timbalan Pendakwa Raya bersetuju dengan cadangan untuk melakukan pertuduhan kerana memiliki senjata api terhadapnya.
"Baki 14 lagi individu yang masih dalam tahanan akan disambung reman bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Terdahulu, pasangan suami isteri yang didakwa menjual senjata api kepada warga Israel itu meminta untuk dibicarakan di Mahkamah Sesyen Klang, Selangor pada Isnin.
Azim Mohd Yasin, 43, dan isterinya Syarifah Faraha Syed Husin, 41, mengaku tidak bersalah ketika didakwa di bawah Akta Senjata Api (Penalti Bertambah) 1971 di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Sharifah Hascindie Syed Omar.
Dalam perbicaraan tersebut, Syarifah dituduh memiliki CZ75 P-01 CAL.9 Luger secara tidak sah manakala suami dituduh menyedari pemilikan senjata haram itu oleh isterinya kerana berada bersamanya.
Sebelum ini, Razarudin mendedahkan penahanan suspek lelaki warga Israel berusia 36 tahun di sebuah hotel di Jalan Ampang.
Polis turut menemui enam pistol termasuk SIG Sauer, Smith dan Wesson serta Glock selain 200 butir peluru selain dua pasport iaitu pasport Perancis yang digunakannya untuk masuk ke Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu serta satu pasport Israel.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28