KAMPAR - Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lori di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan pada Rabu meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, kematian itu menjadikan empat mangsa semuanya warga Bangladesh maut akibat nahas itu, setakat ini.
"Mangsa dikenali Mohammad Sohel berusia 24 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
"Semasa kejadian, mangsa mengalami cedera teruk di kepala dan tangan selain pendarahan dalaman pada perut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.
Beliau berkata, polis telah menahan reman pemandu MPV terbabit untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Pemandu berusia 32 tahun terbabit direman sehingga esok (Jumaat)," katanya.
Kejadian sekitar jam 1.30 petang itu berlaku apabila MPV jenis Naza Citra membawa tujuh pekerja kebun sayur warga Bangladesh terbabas dipercayai akibat tayar pecah.
Kenderaan yang dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Kuala Lumpur itu kemudiannya merempuh besi penghadang jalan sebelum dilanggar lori yang datang dari arah belakang.
Pelanggaran mengakibatkan tiga penumpang MPV dikenali Abdullah Mohammad, Ali Askar dan Md Sohel Miah mati di tempat kejadian, seorang parah manakala yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.