PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia meneruskan momentum positif kempen Kejuaraan Badminton Asia (BAC) 2024 di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo, Ningbo, China apabila mengesahkan slot suku akhir pada Khamis.
Zii Jia berstatus nombor 11 dunia yang ditampilkan pilihan kelapan menjadikan pemain nombor 15 dunia dari Taiwan, Chou Tien Chen mangsa seterusnya apabila menang straight set 21-15, 21-17 dalam aksi 39 minit.
Sebagai rekod ini merupakan pertemuan kesembilan kedua-dua pemain yang menyaksikan pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu menang kali keempat.
Pada Rabu, Zii Jia cemerlang menghantar pulang pemain nombor 32 dunia dari India, Priyanshu Rajawat, straight set 21-9, 21-13 dalam tempoh 39 minit.
Zii Jia tampil ke edisi Ningbo 2024 dengan reputasi juara edisi Manila 2022 di Filipina selepas menyingkir cabaran wakil Indonesia, Jonatan Christie 21-17, 23-21 dalam perlawanan akhir.
Sementara itu, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berstatus nombor 19 dunia juga mara selepas gandingan ranking ke-11 dunia negara tuan rumah China He Jiting-Ren Xiangyu menarik diri akibat kecederaan.
Pada Rabu, Sze Fei-Nur Izzuddin mencipta sensasi apabila menyingkirkan juara dunia dari Korea Selatan Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae, 21-13 dan 21-18 dalam tempoh 44 minit.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28