KUANTAN - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru umat Islam khususnya di negeri ini agar meneruskan ibadah walaupun Ramadan telah melabuhkan tirainya.
Titah baginda, pelbagai ibadah yang dilaksana dan dipertingkatkan sepanjang Ramadan lalu diharap dapat diteruskan pada bulan-bulan lain.
"Teruskan ibadah termasuk berpuasa enam, solat subuh berjemaah di masjid, mengaji al-Quran dan didik anak-anak kita semua supaya teruskan amalan itu," titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Khamis.
Turut berangkat mengiringi baginda, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama, Wan Rosdy selaku tuan rumah.
Dalam majlis itu, Al-Sultan Abdullah mendendangkan tiga buah lagu iaitu Kisah Seorang Biduan, Gadis Melayu dan Butakah Cinta untuk menghiburkan tetamu sebelum berangkat meninggalkan majlis.
Sementara itu, Wan Rosdy berbesar hati dan menjunjung kasih atas keberangkatan Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang serta paduka-paduka anakanda ke majlis rumah terbuka itu.
"Terima kasih juga kepada kira-kira 10,000 tetamu pelbagai kaum yang hadir untuk sama-sama memeriahkan majlis ini.
"Ini membuktikan rakyat di negeri ini hidup dalam suasana penuh harmoni dan masih menjaga perpaduan antara kaum," katanya.
Jelas beliau, menjaga perpaduan dan keharmoni antara kaum merupakan peranan semua pihak termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat.
"Semua pihak kena mainkan peranan masing-masing untuk menjaga keharmonian.
"Elakkan bercakap tentang sesuatu yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dan menimbulkan kesan tidak baik kepada hubungan antara kaum," katanya lagi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28