Sembilan sekeluarga hilang tempat tinggal, rumah musnah terbakar

Iklan
Keadaan rumah Saipul yang musnah dalam kebakaran berkenaan serta ruang dalam rumah yang musnah terbakar.

JOHOR BAHRU - Sembilan sekeluarga hilang tempat tinggal apabila rumah kediaman mereka di Jalan Pinang 21, Taman Daya, musnah dalam kebakaran pada Rabu.

Menurut Saipul Amri Maspuri, 40, kebakaran berkenaan dipercayai berlaku ketika dia bersama isteri serta dua anaknya keluar beraya ke Muar.

Iklan
Iklan

"Ketika kejadian, keluarga adik saya bersama dua anaknya yang tinggal dengan saya pun turut pulang ke kampung.

"Pada masa itu, hanya seorang adik saya yang masih bujang berada di rumah berkenaan keluar beraya ke rumah jiran.

Iklan

"Adik saya pulang ke rumah kerana sakit perut dan katanya masa masuk ke bilik air, dia ada terdengar mengenai bunyi orang main mercun dan bila keluar, tengok-tengok dah ada asap, bahagian atas (siling) dah mula terbakar,” katanya.

Tambah Saipul yang bekerja sendiri, dia mengesyaki kebakaran berkenaan berpunca akibat berlaku litar pintas dan seterusnya menyebabkan api mudah marak ke seluruh kawasan rumah.

Iklan
Saipul bersama isteri serta adik dan adik iparnya di bawah khemah di hadapan rumah yang terbakar.

Katanya, rumah tersebut musnah sepenuhnya dan menyebabkan dia serta keluarga tinggal sehelai sepinggang.

"Saya diberitahu, api marak dengan cepat, sampai tak dapat nak selamatkan apa-apa. Tapi, mujur juga api tidak merebak sampai ke rumah-rumah orang lain.

"Sekarang ni saya bersama isteri, adik dan adik ipar saya ‘tinggal’ di bawah khemah yang ada di hadapan rumah saya yang terbakar.

"Anak-anak saya hantar tinggal dengan saudara mara terdekat buat sementara waktu.. sedih juga bila kenangkan, semua buku dan peralatan sekolah mereka turut terbakar,” katanya.

Sementara itu, kisah Saipul mendapat perhatian Amira Aisya Abd Aziz yang turut meluangkan masa menziarahi Saipul sekeluarga pada Khamis.

Menerusi satu hantaran di aplikasi X, Amira Aisya berkata, pihaknya @TeamAmiraAisya akan cuba mendapatkan penempatan sementara buat Saipul sekeluarga, selain mengharapkan agar orang ramai dapat sama-sama membantu.

"Mohon sangat bantu. Hilang rumah waktu raya, anak-anak masih kecil. Doakan mereka kuat, ujian besar ni,” katanya.

Orang ramai yang mahu menyalurkan bantuan bagi meringankan beban Saipul boleh berbuat demikian dengan menyalurkannya ke akaun bank Maybank 101280056329 atas nama Salpiah binti Mahat (isteri Saipul).