Dugaan Aidilfitri, bumbung rumah dibadai ribut

Iklan
Antara rumah mangsa yang mengalami kerosakan dalam kejadian ribut pada Rabu.

KUALA MUDA - Sebanyak lima buah rumah mengalami kerosakan di bahagian bumbung dalam kejadian ribut melibatkan tiga mukim di daerah Kuala Muda di sini pada Rabu.

Iklan
Iklan

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, tiga mukim terbabit adalah Mukim Kuala, Rantau Panjang dan Pekula.

Katanya, kejadian dilaporkan berlaku antara jam 4.30 hingga 6 petang, bagaimana pun tiada pusat pemindahan dibuka.

Iklan

"Sebaik menerima laporan kita telah menghantar anggota untuk membuat pemantauan dan mengumpul maklumat.

"Anggota kita turut mengedarkan Kit Bantuan Makanan Kecemasan Bencana NADMA kepada semua mangsa," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Iklan

Jelasnya, ketika ini keadaan dilaporkan terkawal dan tiada mangsa yang cedera.

Sementara itu, seorang mangsa Herly Man, 31 dari Kampung Paya di sini berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika dia sedang berehat di rumahnya.

"Mula-mula hujan rintik saja, kemudian tiba-tiba angin kuat dan hujan terus turun dengan lebat.

"Saya pun terkejut juga sebab sudah lama rumah tak kena ribut, kali terakhir rumah dilanda ribut pada tahun 2013," katanya.

Menurutnya, laporan polis sudah dibuat dan berharap ada bantuan akan diterima memandangkan kerosakan bumbung yang dialami agak teruk.

"Rumah saya dua tingkat, yang bahagian atas kayu, bumbung di kawasan situ yang kena ribut. Sekarang kawasan itu memang terbuka terus.

"Lepas kejadian kelmarin (semalam) air dalam rumah sudah kering. Harap-harap hari ini tak hujan lagi, kalau tak basah lagi barang dalam rumah," katanya yang tinggal seorang diri di rumah terbabit.