Malaysia kutuk serangan berterusan Israel di Palestin

Iklan
Seorang wanita menghias khemah keluarganya di Deir el-Balah di Bandar Gaza. Foto AFP

SHAH ALAM - Malaysia mengutuk serangan berterusan dibuat rejim Israel termasuk serangan udara di kem pelarian Shati, Utara Gaza yang menyasarkan rakyat Palestin terutamanya ketika menyambut Aidilfitri.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, tindakan kejam membabitkan warga Palestin, malah lebih dua bilion umat Islam seluruh dunia jelas menunjukkan kebencian dan ia bertentangan dengan simbol sambutan perayaan iaitu prinsip kemanusiaan, keamanan serta belas kasihan.

Iklan
Iklan

"Malaysia dengan tegas akan terus menentang tindakan keganasan dan genosid yang jelas dijalankan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

"Serangan ini juga tentunya akan menjejaskan rundingan gencatan senjata dan mempersoalkan niat Israel, jika ada untuk mencari penyelesaian terhadap konflik ini,” katanya pada Khamis.

Iklan

Sinar Harian pada Rabu memaklumkan, keganasan terus meningkat wilayah Palestin kerana tiada tanda-tanda menunjukkan Perang Gaza akan reda meskipun kini memasuki bulan ketujuh.

Bermula Ramadan hingga ketibaan Syawal, Genting Gaza terus dihujani bom sehinggakan penduduk Palestin terpaksa menjalani ibadah puasa dan meraikan Aidilfitri dalam keadaan daif serta serba kekurangan selain lebih 70 peratus daripada kira-kira 2.3 juta populasi kini di ambang kebuluran.

Iklan

Malapetaka kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza menyebabkan penduduk Palestin di Baitul Maqdis dan Tebing Barat juga hilang semangat untuk menyambut hari raya.

Wisma Putra turut menambah, komuniti antarabangsa tidak boleh berdiam diri dan membiarkan kekejaman itu berterusan kerana lebih banyak nyawa tidak berdosa akan terkorban.

Menurutnya lagi, tindakan tegas perlu diambil untuk menghentikan kekejaman dan bencana manusia di Gaza selain memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan tegas atas jenayah perang tersebut.

Jelasnya, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), Mahkamah Antarabangsa Keadilan (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) perlu bertanggungjawab terhadap konflik yang melanda negara berkenaan.

"UNSC perlu mempertimbangkan penubuhan sebuah tribunal jenayah antarabangsa untuk mendakwa dan membawa mana-mana pihak yang bertanggungjawab ke atas jenayah sedemikian ke muka pengadilan.

"Malaysia tetap teguh dalam usaha untuk mencapai penyelesaian damai kepada konflik berpanjangan yang telah meragut banyak nyawa selama lebih dari 75 tahun.

"Rakyat Palestin layak mencapai penubuhan negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan-sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu kota,” ujar kenyataan terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!