JUARA boling dunia 2023, Natasha Roslan mengimbas memori indah ketika berpuasa dan menyambut Syawal di perantauan berkorban demi membawa nama negara di pentas dunia.
Beliau berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri itu diraikan di Amerika Syarikat (AS) kerana menyertai Kejohanan Boling Profesional Wanita beberapa tahun sebelum dunia dilanda pandemik Covid-19.
Namun tambahnya, kerinduan buat keluarga tersayang terubat apabila sambutan perayaan itu diraikan bersama rakan sepasukan dalam suasana sederhana, namun tetap meriah.
"Alhamdulillah, tahun ini dapat berpuasa dan menyambut Syawal bersama keluarga di Malaysia. Sebelum Covid-19 banyak berpuasa dan menyambut lebaran di luar negara iaitu AS kerana ada kejohanan di sana.
"Walaupun jauh (dari keluarga), namun dapat masak dan makan bersama (rakan sepasukan). Ada satu tahun, dapat juga 'curi-curi main bunga api, walaupun kerajaan AS tak beri,” katanya.
Natasha pada Oktober tahun lalu muncul juara Kejohanan Boling Dunia di Salmiya, Kuwait setelah menewaskan rakan sepasukan Sin Li Jane 2-1.
Menyentuh mungkin ada perbezaan sambutan Syawal sebagai juara dunia, atlet yang berasal dari Kuala Lumpur itu mahu menjadikan kejayaan tersebut sebagai penyuntik semangat untuk beraksi dengan lebih baik dan konsisten dengan persembahan terbaik.
"Tiada beza, cuma ia satu kemenangan yang bagus untuk saya dan ambil kejayaan itu sebagai satu semangat untuk kekalkan kejuaraan.
"Ada orang cakap sebagai juara dunia akan jadi tumpuan dan sasaran lawan, namun saya rasa itu satu semangat untuk saya terus banggakan nama Malaysia di pentas dunia,” katanya.
Mengulas mengenai kejohanan yang bakal disertai pada tahun ini, Natasha dan rakan sepasukan mahu memberi fokus kepada Kejohanan Boling Asia di Bangkok, Thailand pada September.
"Saya serta rakan-rakan giat berlatih dan pertandingan selepas Syawal ini ialah di Singapura iaitu Kejohanan Klasik Antarabangsa bermula 18 April,” katanya.
Bercerita mengenai hobi, Natasha berkongsi minatnya membuat biskut cip coklat bermula ketika Covid-19 beberapa tahun lalu dan pernah mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengguna sehingga jualan mencecah 800 botol.
Tambahnya, beliau perlu bijak membahagikan masa antara minatnya itu dan sesi latihan yang perlu diikuti bagi memastikan prestasi berada pada tahap terbaik.
"Pada 2021 mula buat (biskut) dan kemudian berhenti sekejap, tapi buat semula beberapa bulan lalu.
"Pagi akan jalani latihan di gimnasium, manakala pada sebelah malam sehingga kira-kira pukul 1 pagi akan buat biskut. Berasa penat, namun saya anggap ia sebagai terapi yang baik,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28