Remy Ishak bawa anak balik kampung

Iklan
Remy teruja kerana dapat memperkenalkan anak sulungnya, Tuah Alam dengan keluarga di Melaka. Foto Azrul Farie (Astro)

AKTOR yang pernah mendapat jolokan Hero Malaya, Remy Ishak sempat berkongsi keterujaannya menyambut Aidilfitri kali ini.

Masakan tidak, tahun ini merupakan lebaran yang lebih sempurna dengan kehadiran putera sulungnya, Tuah Alam yang kini berusia hampir sembilan bulan.

Iklan
Iklan

Berkongsi ceritera sambutan raya pertamanya, Remy berkata, beliau dan isteri, Ezza Yusof pulang ke kampung halamannya di Melaka terlebih dahulu.

Kesempatan itu juga digunakan untuk memperkenalkan buah hatinya itu kepada kaum keluarga di kampung.

Iklan

"Jadi saya pulang untuk meluangkan masa dan menjaga emak sementara adik-beradik yang lain pulang ke kampung pasangan masing-masing.

"Dapat jugalah kenalkan Tuah pada saudara-mara. Kemudian barulah kami akan pulang ke Pahang, iaitu kampung isteri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Iklan

Ditanya bagaimana penerimaannya apabila cahaya matanya itu kini menjadi perhatian umum, Remy berkata, sebagai selebriti, beliau sudah boleh menerima perkara itu.

Bahkan secara berseloroh aktor hitam manis itu merasakan sudah tiba masanya Tuah mengumpul duit raya pertamanya tahun ini.

"Bagi saya, bila sudah masuk ke dunia selebriti, kita tidak boleh lari daripada perhatian umum. Cuma bagaimana kita mengendalikannya sahaja. Pun begitu, saya tak kisah Tuah dapat perhatian lebih,” ujarnya.

Tatkala terus berbual mengenai anaknya, bintang utama Pulang itu mengakui si kecil itu banyak mengubah dirinya menjadi orang yang lebih penyabar.

Malah kebanyakan keputusan yang diambil juga tidak cenderung ke arah dirinya seorang.

"Kalau dulu contohnya, bila tersangkut dalam kesesakan lalu lintas, kita jadi mudah marah, tetapi sekarang kalau nak marah, saya fikir anak ada sekali dalam kereta.

"Semua benda yang saya lakukan, termasuk kerja sekarang bukan hanya sekadar minat tetapi kerana nak bagi anak makan,” katanya sambil ketawa.

Sementara itu, berkongsi perkembangan terbaharunya, Remy berkata, filem lakonannya, The Experts bakal menemui penonton di pawagam pada 23 Mei depan.

Ditanya adakah beliau kini lebih memberi tumpuan kepada penghasilan filem berbanding drama, bintang berusia 41 tahun itu tidak menafikannya.

Jelas Remy, faktor tawaran yang kurang menarik dan jalan cerita hampir sama membuatkan beliau lebih fokus kepada filem.

"Kali terakhir saya berlakon drama menerusi Hijrah Jannah tahun lalu. Selepas itu ada tawaran yang masuk, tetapi kebanyakannya skrip dan watak yang hampir sama.

"Saya tak mahu ambil kerana tak nak kurang 'rasa' dalam lakonan. Nanti pada akhirnya penonton yang tidak puas hati dengan lakonan saya.

"Cuma saya tak salahkan penulis skrip atau penerbit hasilkan naskhah yang lebih kurang sama kerana semua itu bergantung pada permintaan," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!