PASIR MAS - Projek Ladang Merdeka Senor di Kampung Meranti di sini bakal dijadikan sebagai pusat pengeluaran benih padi wangi dari jenis MRQ76 oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).
Pengerusinya, Senator Datuk Husam Musa berkata, langkah itu salah satu usaha mempromosikan lagi tanaman beras wangi yang mempunyai manfaat besar kepada masyarakat.
"Ia juga menjadi tapak kepada Kada untuk menyediakan bekalan benih kepada petani yang mengusahakan tanaman padi jenis ini.
"Kami mendapati harga pasaran beras wangi jenis ini tinggi berbanding harga beras biasa dan memberi peluang kepada Kada untuk membantu petani meningkatkan pendapatan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Projek Perintis Penanaman Benih Padi Wangi di Ladang Merdeka Senor, Meranti di sini hari ini.
Menurutnya, Ladang Merdeka Senor adalah lokasi pertama dijadikan ladang benih beras wangi di negeri ini dan projek diusahakan di atas tanah seluas 10 hektar itu bakal menghasilkan 50 tan benih padi wangi.
"Jumlah 50 tan benih padi ini mampu ditanam di atas tanah seluas 380 hektar dan langkah ini membolehkan padi wangi dapat diusahakan secara berterusan sekali gus mengurangkan negara mengimport beras wangi dari negara lain.
"Sekarang ini padi jenis ini ditanam di kawasan seluas 300 hektar di Selising, Pasir Puteh dan ia mendapat sambutan memberangsangkan daripada petani untuk mengusahakannya secara berterusan setiap tahun," katanya.
Katanya, harga beras wangi 1 tan di pasaran ketika ini mencecah RM1,500 dan harga beras biasa RM1,200 (1 tan) menunjukkan petani boleh meningkatkan pendapatan mereka.