Ubah suai pembakar lemang

Iklan
Ahmad Hishamudin menunjukkan lemang yang dimasak menggunakan kaedah moden.

KOTA BHARU - Permintaan lemang yang diterima setiap hari sepanjang Ramadan sehingga kini menyukarkan pembuat lemang di Kampung Bunut Payong di sini untuk menolak tempahan pelanggan.

Ahmad Hishamudin Md Ghani, 32, juga masih membakar lemang pada hari raya pertama sehingga hari ini (hari raya ketiga) sebelum menghantarnya sendiri kepada pelanggan.

Iklan
Iklan

Mujurnya, Ahmad Hishamudin mempunyai dua pembakar lemang yang diinovasi sendiri dengan menggunakan tong besar dan gas sehingga boleh membakar lebih 1,000 lemang yang ditempah dalam tempoh itu.

"Saya tidak kisah masih membakar lemang walaupun pada hari raya pertama dan sehingga kini masih memenuhi permintaan pelanggan.

Iklan
Lemang disusun di dalam lubang khas sebelum di bakar dalam tong besar yang sudah diubahsuai.

"Lemang kini menjadi antara juadah kegemaran dan bukan sahaja dihidangkan pada hari raya pertama malah setiap hari sepanjang Syawal terutama ketika rumah terbuka," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Ahmad Hishamudin yang mula membuat lemang kira-kira tiga tahun lalu memberitahu, idea inovasi pembakar lemang itu dilakukan selepas memikirkan ruang yang diperlukan serta kesukaran secara tradisional.

Iklan

"Saya menggunakan dua buah tong besar setinggi kira-kira 65 sentimeter (cm) dan membuat penutup bagi membolehkan lemang masak dengan sempurna serta rasa sama dengan lemang yang dibakar," katanya.

Menurutnya lagi, tong berkenaan dilengkapi dengan besi yang dibuat sebanyak 32 lubang untuk meletakkan buluh lemang sekali gus memudahkan proses membakar.

Jelasnya, inovasi itu lebih mudah kerana tidak perlu menjaga jarak antara api dan lemang selain kurang tahap kepanasan haba tetapi tempoh masak hampir sama dengan kaedah tradisional iaitu kira-kira dua jam.

"Cara tradisional memerlukan kita menjaga nyalaan api dan mungkin ada yang mudah hangus jika saiz buluh lemang tidak sekata," katanya.

Bapa kepada dua anak itu mula mencari buluh di kawasan pinggir hutan di Kampung Tualang Banggu di sini beberapa hari sebelum sambutan hari raya.

Ahmad Hishamudin yang mempunyai tujuh pembantu turut menerima tempahan untuk rumah terbuka Aidilfitri.

"Alhamdulillah permintaan semakin meningkat dan percubaan saya sejak tiga tahun lalu membuahkan hasil kerana ramai pelanggan menyukai rasa lemang yang dibakar cara moden," katanya.

Menurutnya lagi, sebatang lemang dijual pada harga RM12 untuk tahun ini berikutan ada beberapa bahan yang digunakan sudah dinaikkan harga.