Aidilfitri: JSPT atur gerak anggota, pegawai di lokasi jangka sesak

Iklan
Anggota dan pegawai trafik diarahkan supaya memantau beberapa lokasi yang dijangka mengalami kesesakan. (Foto hiasan) Gambar kecil: Mohd Nasri

KUALA LUMPUR - Anggota dan pegawai polis menjalankan pemantauan di beberapa lokasi dijangka berlaku kesesakan susulan orang ramai yang pulang ke destinasi masing-masing pada Jumaat.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, pelbagai elemen telah diatur gerak bagi memastikan aliran trafik lancar.

Iklan
Iklan

"Anggota dan pegawai trafik telah diarahkan supaya memantau beberapa lokasi yang dijangka mengalami kesesakan.

"Masa sama, kehadiran mereka secara langsung meningkatkan pematuhan terhadap peraturan serta undang-undang lalu lintas," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Katanya, pengguna dinasihatkan merancang dahulu pergerakan terutama melibatkan perjalanan yang jauh.

"Perancangan perjalanan yang sempurna perlu bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan.

Iklan

"Selain itu, pengguna diingatkan sentiasa berhemah, berhati-hati dan fokus serta serius kepada pemanduan," katanya.

Menurutnya, semua pengguna bertanggungjawab memastikan keselamatan ketika dalam perjalanan ke tempat yang ingin dituju.

"Jalan raya bukan tempat untuk mengejar masa atau menunjukkan kehebatan pemanduan tetapi satu medium penting untuk perhubungan dari satu lokasi ke lokasi yang lain.

"Ingatlah kepentingan menjaga nyawa itu penting dan jangan melakukan sesuatu yang membahayakan nyawa sendiri dan orang lain," katanya.

Dalam pada itu, Facebook rasmi JSPT memaparkan berkaitan angka kematian akibat kemalangan merekodkan penurunan kepada 16 kes pada hari keempat pelaksanaan Op Selamat Hari Raya Aidilfitri pada Khamis.

Jumlah ini mencatatkan penurunan berbanding 35 kematian yang dicatatkan pada hari ketiga op berkenaan Rabu lalu.

Selain itu, jumlah kemalangan jalan raya direkodkan pada Khamis mencatatkan penurunan satu angka iaitu daripada 1,289 kepada 1,288 kes.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28