KUALA LUMPUR - Beberapa kawasan tumpuan orang ramai termasuk warga asing sekitar ibu kota menjadi lokasi pemeriksaan serta rondaan mengejut Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, antara kawasan terlibat adalah sekitar Menara Berkembar Petronas, Jalan Silang, Kota Raya, Bukit Bintang, Chow Kit dan beberapa kawasan sekitar ibu kota.
"Anggota dan pegawai imigresen terlibat dalam rondaan ini dibahagikan kepada beberapa kumpulan di lokasi berkenaan.
"Tindakan penguatkuasaan, pemeriksaan serta elemen rondaan sentiasa dijalankan bagi memastikan kehadiran pihak imigresen dirasai buat warga ibu kota," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya, usaha ini dijalankan bagi memastikan Kuala Lumpur menjadi lokasi selesa buat seluruh warga sama ada tempatan atau pelancong asing.
"Kita sentiasa peka dengan kepentingan kehadiran pihak penguatkuasa di lokasi berkenaan.
"Kuala Lumpur diharapkan dapat mengekalkan bukan sahaja tarikan malah keselamatan dan keselesaan kepada semua," katanya.
Menurutnya, tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang imigresen seperti majikan yang menggaji pendatang asing tanpa asing (PATI).
"Selain itu, kita turut tidak berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang didapati tiada dokumen sah," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28