BAC 2024: Aaron-Wooi Yik bertemu Sze Fei-Nur Izuddin rebut slot ke final

Iklan
Aaron-Wooi Yik. Foto Facebook BAM

DUA beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan bertemu sesama sendiri untuk menentukan slot ke final Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China, esok.

Ini selepas kedua-dua pasangan itu mara ke separuh akhir setelah menewaskan lawan masing-masing pada aksi suku akhir di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo, hari ini.

Iklan
Iklan

Pasangan pilihan keempat kejohanan Aaron-Wooi Yik hanya memerlukan 30 minit untuk mengatasi pasangan tuan rumah dan pilihan ketujuh Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi, 21-14, 21-15.

Dengan kemenangan itu, juara dunia 2022 berkenaan menyamakan rekod pertemuan mereka kepada 4-4 sejak kedua-dua pasangan tersebut bertemu pertama kali pada separuh akhir Terbuka Indonesia 2022.

Iklan

Dalam pada itu Sze Fei-Nur Izzuddin meneruskan kecemerlangan dalam kejohanan itu apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan juara Sukan Olimpik 2020 Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan, 19-21, 21-19, 21-19 dalam pertarungan selama 68 minit.

Bagaimanapun beregu ranking ke-19 dunia itu bakal berdepan saingan sukar, esok kerana mereka hanya menang sekali menentang Aaron-Wooi Yik dalam tujuh pertemuan sebelum ini. - Bernama

Iklan

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28