PASIR PUTEH - Kira-kira 300 keluarga di Mukim Telipot di sini terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan 'suram' dan ala kadar berikutan gangguan bekalan air sejak Selasa lepas iaitu sehari sebelum lebaran.
Penghulu Muhd Zali Mat Daud, 57, berkata, rata-rata penduduk tidak dapat menyediakan juadah raya seperti sebelum ini kerana bekalan air yang disimpan hanya mencukupi untuk mandi dan keperluan penting sahaja.
Beliau berkata, anak-anak yang pulang dari perantauan untuk berhari raya bersama keluarga turut menanggung keperitan ketiadaan bekalan air.
"Masalah bekalan air di kampung ini memang sering berlaku, namun sehari sebelum hari raya hingga sekarang kami masih berdepan dengan masalah gangguan air.
"Oleh itu, semua persiapan raya banyak tergendala terutama untuk memasak juadah raya, malah tetamu yang hadir dihidangkan kudapan serta biskut raya yang dibeli sahaja dan rumah terbuka juga tidak dapat diadakan," katanya di sini hari ini.
Muhd Zali berkata, Mukim Telipot merupakan kawasan yang agak tinggi menyebabkan kos untuk membina telaga tiub mencecah RM8,000 dengan anggaran kedalaman 25 meter.
Penduduk Kampung Chengal Pulas, Saufi Ariffin, 60, pula berkata, beliau menyediakan kira-kira 20 tong hitam dan baldi bagi menyimpan bekalan air untuk kegunaan keluarga sepanjang Ramadan dan Syawal.
Beliau berkata, semasa bulan puasa bekalan air diperoleh antara pukul 2 pagi hingga 6 pagi sahaja.
"Masalah air ini sangat membebankan kami, bukan hanya terpaksa sediakan bekas simpanan tetapi terpaksa berjaga malam mendapatkan bekalan air untuk kegunaan keluarga," katanya.
Sementara itu, Shahrul Hisyam Mahadi, 33, dari Kampung Wakaf Tukup berkata akibat bekalan air daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) selalu mengalami gangguan, kebanyakan penduduk terpaksa mandi dan membasuh pakaian di Sungai Tengah terutama mereka yang tidak mempunyai telaga di rumah.
"Walaupun sungai semakin cetek kerana cuaca panas dan bimbang tahap kebersihannya tetapi itu sahaja alternatif yang kami ada setakat ini dan kami harap masalah bekalan air ini dapat ditangani dengan segera," katanya.
Sebelum ini, AKSB dalam kenyataan memaklumkan beberapa pelan tindakan kesiapsiagaan bagi menjamin kelangsungan bekalan air di negeri itu agar tidak terjejas pada musim perayaan Aidilfitri. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28