Dugaan raya, warga emas pengsan rumah musnah terbakar

Iklan
Kediaman yang didiami empat beranak musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Tua, Parit pada Jumaat

PARIT - Seorang wanita warga emas terpaksa dipapah orang ramai apabila tidak sedarkan diri selepas kediamannya musnah dalam kebakaran di Jalan Masjid As-Saadah, Kampung Tua dekat Belanja Kiri di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian sekitar jam 1.40 petang itu, Nor Paezah Abdullah, 63, dikatakan pengsan beberapa kali selepas terkejut melihat api marak membakar rumahnya.

Iklan
Iklan

Kejadian itu turut menyebabkan anaknya, Megat Khairil Idlan Megat Abu Shahuddin, 35, menerima rawatan akibat melecur pada kedua-dua tapak kakinya.

Menurut Megat Khairil Idlan, kejadian itu disedari selepas dia terlihat api mula marak menyambar kain pada bahagian tengah rumah ibunya itu.

Iklan
Megat Khairil Idlan

"Saya tinggal sendirian manakala ahli keluarga lain termasuk emak berada di rumah saudara berhampiran bagi menghadiri majlis pertunangan.

"Kebetulan saya menuju ke dapur, ketika itulah saya nampak api.

Iklan

"Bergegas saya ambil air cuba memadam kebakaran tetapi api marak terlalu cepat.

"Saya cuma fikir untuk padam api hingga tidak sedar lantai rumah sudah panas menyebabkan kaki melecur," katanya ketika ditemui di sini.

Tambahnya, keadaan itu menyebabkan emaknya kini masih trauma hingga tidak mampu berkata apa-apa.

"Dua tiga kali emak pengsan selepas terkejut lihat api marak membakar rumah.

"Saya bimbang akan kesihatannya kerana dia mempunyai darah tinggi.

"Saya minta emak dibawa berehat ke rumah nenek yang terletak di sebelah. Emak masih trauma hingga tidak boleh bercakap," katanya.

Khairudin (dua dari kanan) melawat keluarga Nor Paezah selepas kediamannya musnah terbakar di Kampung Tua, Parit.

Tambah anak kedua daripada tujuh beradik itu, kejadian itu menyebabkan segala keperluan seperti pakaian dan empat motosikal hangus terbakar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanifah berkata, pihaknya berusaha membantu meringankan beban dengan mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar, Muhammad Asyraf Mat Isa berkata, kebakaran pada jam 1.44 petang itu melibatkan sebuah rumah kelas B yang terbakar dianggarkan 85 peratus.

"Penilaian risiko dilakukan di lokasi kejadian dengan operasi pemadaman dijalankan bersumberkan air dari Sungai Perak berhampiran sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.

"Seorang mangsa yang cedera di tapak kaki kanan telah diberi rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurut beliau, punca dan jumlah kerugian dalam kebakaran itu masih dalam siasatan dan operasi memadam kebakaran tamat pada jam 3.45 petang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28