SHAH ALAM - Perbezaan agama tidak menghalang seorang wanita untuk menziarahi kubur arwah ayahnya, Mohd Ja’afar Abdullah sempena sambutan perayaan Aidilfitri.
Wanita yang dikenali sebagai Janaki itu berkata, arwah ayahnya memeluk Islam ketika dia masih remaja dan meninggal dunia pada 20 Januari 2019.
"Banyak cabaran kami masa itu sebab tidak dapat menerima kenyataan.
"Terlalu banyak pergaduhan dan air mata, tetapi lama-kelamaan kami sekeluarga reda,” kongsinya dalam satu video yang dimuat naik di media sosial.
Tambah Janaki, selepas bapanya memeluk Islam, arwah ayahnya sentiasa menunjukkan kehidupan sebagai seorang Muslim, namun masih berbangga dengan keturunan India.
Ujarnya, arwah ayahnya tidak pernah meninggalkan solat dan puasa, malah arwah tidak berdakwah dengan mereka sekeluarga.
"Cara itu membuatkan kami sekeluarga sangat menghormati ayah dan kehidupan baharunya.
"Selepas ayah meninggal dunia, saya bersama suami menguruskan pengebumian secara Islam dan bangga dapat memenuhi tanggungjawab sebagai anak,” jelasnya.
Janaki turut memberitahu bahawa arwah ayahnya tidak pernah membandingkan agama masing-masing.
Katanya lagi, semasa hidup, arwah ayahnya sentiasa mencuba untuk memperbaiki hubungan keluarganya.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu saling menghormati kehidupan masing-masing walaupun berlainan bangsa.
"Selamat hari raya ayah dan selamat hari raya semua,” ucapnya ringkas.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28