SYDNEY - Penduduk di pinggir bandar Paddington, Sydney tidak menyangka apabila melihat seorang penghantar makanan menunggang seekor kuda untuk menghantar pesanan pelanggannya, lapor New York Post.
Rakaman yang tular di media sosial itu menyaksikan seorang lelaki memakai pakaian seragam syarikat penghantar makanan, UberEats menunggang kuda hitam di bandar tersebut pada Rabu.
Dia kelihatan menunggang kudanya sambil memakai topi keledar yang dipasang telefon untuk dijadikan panduan ke destinasi ditujunya.
Kejadian jarang berlaku itu menyebabkan orang ramai berpusu-pusu merakam gelagat lelaki tersebut dan memuat naik video mereka dalam platform media sosial masing-masing.
Dalam satu rakaman video yang ditonton lebih sejuta kali di TikTok menyaksikan ramai netizen memberikan pelbagai komen yang lucu.
"Tidak hairanlah makanan saya cepat sejuk kerana penghantar makanan hanya mempunyai satu kuasa kuda," kata seorang netizen.
"Nah, ini jawapannya kepada harga bahan api yang tidak masuk akal,” tambah seorang lagi netizen.
Dalam pada itu, pihak Uber sedang menyiasat kejadian tular itu dan telah menggantung akaun lelaki tersebut yang dianggap melanggar kod etika syarikat itu.
"Kami mengekalkan mereka pada standard keselamatan yang lebih tinggi di sini dan tindakan itu adalah bertentangan dengan dasar kami untuk membuat penghantaran dengan cara menunggang kuda," katanya. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28