NILAI - Seorang bekas pemandu lori tidak menyangka keputusannya menceburi bidang pertanian dengan mengusahakan kebun maman secara fertigasi meja memberikan pendapatan lumayan.
Bermula secara kecil-kecilan pada tahun 2021, kini pasangan suami isteri Noor Azlan Borhan, 44, dan Azemar Basari, 43, tidak menang tangan menerima tempahan pelanggan.
Boleh dikatakan setiap minggu, kira-kira 100 kilogram sayur maman terjual dan permintaannya akan meningkat setiap kali menjelang hari raya.
"Saya mula belajar tanam sayur-sayuran secara fertigasi pada tahun 2020 daripada seorang kawan selepas buat keputusan berhenti kerja sebagai pemandu lori.
"Kemudian saya cuba usahakan sendiri di tanah seluas 1.5 ekar di kawasan rumah dan mula menjualnya.
"Tak sangka pula dapat permintaan yang agak baik daripada penduduk sekitar," katanya kepada Sinar Harian ditemui di kebun mamannya di Kampung Tengah, Lenggeng di sini.
Bermula dari situ katanya, beliau memberanikan diri untuk menanam lebih banyak sayuran tersebut bagi menampung permintaan yang semakin bertambah dari hari ke hari.
Beliau memilih untuk mengusahakannya secara fertigasi meja kerana penjagaannya lebih mudah berbanding di atas tanah.
"Biasanya dalam tempoh 20 ke 25 hari sudah boleh dipetik berbanding maman yang ditanam di atas tanah perlu mengambil masa satu bulan untuk matang," katanya.
Selain itu katanya, sayur maman juga sangat sensitif dan tidak boleh disembur dengan air yang banyak kerana jika terlalu lembap ia boleh menyebabkan daunnya cepat kuning.
Disebabkan itu katanya, konsep fertigasi yang berbumbung amat sesuai dengan maman kerana dapat elakkannya daripada terkena hujan.
"Saya bermula dengan empat meja saja dan dengan bantuan Pihak Berkuasa Kemajuan Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Pertubuhan Peladang, kini menambah sehingga 30 meja.
"Alhamdulillah, permintaan itu memang tak putus-putus dan kebanyakannya daripada pengusaha rendang bukan sahaja dari Negeri Sembilan, tetapi juga di Lembah Klang," katanya.
Bukan sekadar menjual maman, pasangan ini turut menghasilkan produk berasaskan maman seperti rendang maman, jeruk maman dan daging dendeng maman.
Malah mereka juga dalam perancangan menghasilkan serunding maman dan produk lain lagi yang berasaskan maman.
"Semuanya kami usahakan dan hasilkan sendiri.
"Insya-ALLAH kami juga dalam perancangan nak kembangkan lagi produk-produk maman ini lebih-lebih lagi ia merupakan sayur yang sinonim dengan Negeri Sembilan," katanya.
Dalam pada itu ditanya berkenaan cabaran dalam bidang pertanian, Noor Azlan berkata, ia tidak susah tetapi memerlukan kesabaran yang tinggi kerana tanaman yang mudah rosak.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28