SUNGAI PETANI - Seorang juruterbang melaksanakan misi Jelajah Malaysia ke Makkah menggunakan laluan darat dalam tempoh kira-kira 30 hari dengan memandu kereta tempatan, Proton Wira.
Lebih menarik, kenderaan milik Muhammad Fauwaz Zamzam, 42, dari Sabak Bernam, Selangor itu telah diubah suai dengan beberapa kemudahan sebagai keselesaan sepanjang pemanduan.
Menurutnya, kenderaan jenama negara itu dilihat lebih praktikal dan mudah dikendalikan sekiranya berdepan kecemasan, selain berbangga dengan produk buatan Malaysia.
"Kereta ini telah diubah suai dengan segala kelengkapan yang mungkin diperlukan sepanjang perjalanan dan jika berlaku kerosakan, kita boleh baiki di mana-mana sahaja,” katanya.
Tambahan pula, rakan pengembaranya, Sazali Hassan Basri, 59, dari Shah Alam, Selangor, merupakan seorang bekas Jurutera Teknikal Proton yang sentiasa berkongsi pengalaman dan kepakaran.
"Agak mencabar dari segi kekuatan mental dan fizikal, apatah lagi pada bulan puasa dan sambutan Aidilfitri diraikan di jalanan, satu pengorbanan namun memberi nikmat serta muhasabah diri agar lebih dekat dengan ALLAH,” katanya.
Selain itu, Sazali berkata, kenderaan berkenaan telah dipersiapkan dan disesuaikan untuk merentasi beberapa laluan termasuk Thailand, Laos, China, Nepal, India, Pakistan, Iran, Iraq, Kuwait dan seterusnya Arab Saudi.
"Kita singgah di lokasi tertentu untuk berbuka puasa dan berehat sebelum sambung perjalanan, terutamanya ke masjid-masjid dan mendekati komuniti Islam,” jelasnya.
Muhammad Fauwaz dan Sazali antara 19 peserta Jelajah Malaysia ke Makkah menggunakan beberapa jenis kenderaan, antaranya motosikal, kereta dan kenderaan pacuan empat roda.
Mereka yang bertolak pada 23 Mac lalu mengambil masa 30 hari untuk sampai sekali gus membolehkan mereka menunaikan umrah atau haji di Tanah Suci Makkah.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28