Pilu terkenang raya bersama arwah suami

Iklan
Rabiatul Izzati bersama tiga anaknya di kediaman keluarganya di Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang.

KUALA SELANGOR - Seorang isteri gigih menggalas amanah menjaga tiga anak yang masih kecil selepas pemergian suami tercinta akibat Covid-19 tiga tahun lalu.

Rabiatul Izzati Tenuri, 34, berkata, amanah Allahyarham suaminya, Muhammad Fitri Izzat Mohamad Fairus, tidak sesekali pernah diabaikan.

Iklan
Iklan

"Selagi saya diberi kesihatan baik, saya akan terus pikul tanggungjawab arwah suami untuk jaga tiga anak perempuan,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang di sini.

Rabiatul Izzati kehilangan suaminya yang meninggal dunia selepas ditidurkan di Hospital Sungai Buloh akibat Covid-19 pada 21 Ogos 2021.

Iklan

Lebih memilukan apabila dua anak kembarnya, Nur Raisya dan Nur Raiqa berusia tiga tahun yang dilahirkan pada 30 Julai 2021 tidak sempat bertemu dengan Allahyarham bapa mereka.

Katanya, dia kini menerima ketentuan Ilahi dengan reda dan mahu memfokuskan masa depan semua anak termasuk puteri sulungnya, Nur Ania yang berusia enam tahun.

Iklan

"Secara jujurnya, jiwa saya sememangnya sebak apabila mengenangkan nasib tiga anak yang menjadi yatim pada usia kecil.

"Saya tidak boleh bersedih mengenang masa silam, sebaliknya perlu terus kuat membesarkan mereka sebaik mungkin dan memegang pesanan arwah suami sebelum ini,” ujarnya.

Rabiatul Izzati memberitahu, dia kini gigih meneruskan kelangsungan hidup dengan berniaga makanan bersama ibunya di pekan Tanjong Karang dan menjual dim sum secara dalam talian.

"Bagi saya, anak-anaklah penyeri hidup saya dan inilah zuriat kami yang perlu saya beri tumpuan,” tambahnya.

Mengimbau detik pilu menyambut lebaran kali ini, ibu tunggal itu berkata, masakan lontong, lemang dan rendang daging menjadi juadah kegemaran Allahyarham suaminya selama ini.

"Sepanjang empat tahun usia perkahwinan kami, saya dan ibu memang akan memasak juadah itu pada pagi Aidilfitri.

"Saya perasan tahun sebelum suami meninggal dunia, arwah dilihat beria beraya. Tidak sangka ia lebaran terakhir kami bersama,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28