KUALA LUMPUR - Tindakan murni seorang aktivis jalanan menyediakan bantuan makanan dan barangan keperluan asas buat golongan asnaf serta fakir miskin di sekitar Chow Kit menambat hati orang ramai untuk mengenali sosok itu dengan lebih dekat.
Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan, Azhan Adnan, 56, berkata, inisiatif yang diusahakan sejak tiga tahun lalu bukan sahaja menekankan pemberian bantuan dari segi keperluan makanan, tetapi juga santapan rohani.
Beliau yang lebih dikenali dengan nama ‘Abbe Hae’ di platform TikTok memaklumkan, tujuannya berbuat demikian agar anak-anak asnaf dan fakir miskin tidak mewarisi kemiskinan hidup yang dialami ibu bapa masing-masing.
"Saya rasa terpanggil untuk buat aktiviti sebegini bersama anak-anak di samping memberi pendidikan khususnya agama Islam buat mereka yang kebanyakannya berusia antara tujuh hingga 15 tahun.
"Galakan juga diberikan agar mereka sentiasa bersekolah dan teruskan belajar demi mencapai kejayaan suatu hari nanti.
"Saya sendiri korbankan masa, tenaga dan wang ringgit semata-mata nak lihat anak Melayu kita maju,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan Jalan Belia, Chow Kit di sini baru-baru ini.
Menurut pesara yang dahulunya bekerja sebagai pengeksport bijih besi, pihaknya tidak menyangka sambutan yang diterima berpunca daripada kuasa tular amat luar biasa meskipun baru sahaja beberapa tahun menjalankan program berkenaan.
Bapa kepada 11 anak tersebut menambah, daripada 40 keluarga kurang bernasib baik yang berdaftar di bawah pertubuhannya, kini sudah mencecah hampir 150 isi rumah tidak kira dari Chow Kit mahupun luar kawasan.
"Pada permulaannya kami beri barangan keperluan dari rumah ke rumah namun disebabkan sudah terlalu ramai, saya kumpulkan penerima di satu tempat kerana lebih mudah.
"Tambahan pula ketika bulan puasa memang ramai. Tetapi selepas Ramadan, kami akan beri bakul makanan dan sesi pengajian seperti biasa di laluan pejalan kaki ini juga.
"Selepas raya, insya-ALLAH Rumah Ilmu tiga tingkat di Lorong Haji Taib akan siap dibina untuk anak-anak ini belajar dengan selesa secara percuma,” ujarnya.
Beliau yang mesra dipanggil ‘ayah’ memberitahu, kesemua anak-anak ini dinilai dari segi sikap sama ada berkelakuan baik atau sebaliknya.
"Jika ada antaranya didapati mengeluarkan kata-kata kesat, ‘markah sikap’ bakal dipotong dan saya sendiri akan menasihatinya.
"Dengan adanya kaedah sebegini mereka akan lebih berhati-hati.
"Alhamdulillah setakat ini mereka sudah banyak berubah ke arah positif dan nanti ada ganjaran percutian buat mereka kerana berkelakuan baik.
"Besar harapan saya agar usaha ini dapat diwarisi oleh anak-anak dalam usaha mengeluarkan golongan fakir miskin daripada kepompong kesusahan,” ulas individu dari Pasir Mas, Kelantan itu lagi.
Dalam pada itu katanya, pertubuhan yang dibangunkan sejak 2002 turut aktif menjalinkan kolaborasi bersama orang perseorangan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha menyantuni kumpulan sasar.
Jelasnya, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga sentiasa membantu dalam menyelesaikan masalah dihadapi golongan berkenaan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28